Segmen pembangunan hartanah kekal pemacu utama hasil OSK bagi FY23 - Malacca Securities | DagangNews Skip to main content

Segmen pembangunan hartanah kekal pemacu utama hasil OSK bagi FY23 - Malacca Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Mac - Segmen pembangunan hartanah akan kekal sebagai pemacu hasil utama untuk OSK Holdings Berhad bagi FY23 disokong oleh beberapa pelancaran projek baharu di seluruh Lembah Klang dan Pulau Pinang.

 

Malacca Securities berkata, selain itu ia turut disokong dengan pembangunan dua perbandaran yang sedang berjalan di Seremban dan Kedah.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu meraih jualan baharu bernilai RM946 juta pada FY22 berbanding RM851 juta direkodkan pada FY21.

 

"Bagi FY23 kami menganggap bahawa jumlah jualan baharu mungkin lebih rendah antara RM850-RM900 juta kerana pasaran hartanah tidak memberangsangkan berikutan ketiadaan insentif baharu di bawah Belanjawan 2023 yang disemak semula.

 

"Berdasarkan peningkatan kos sara hidup selain kadar faedah yang lebih tinggi yang menghakis kuasa beli rakyat Malaysia, kami menganggap bahawa kemampuan memiliki rumah kekal sebagai isu utama bagi pasaran hartanah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, selepas memperoleh sejumlah 36.42 hektar tanah dengan harga RM42.4 juta di Sg. Petani dan Seremban pada 2022, kumpulan itu kekal aktif dalam aktiviti penambahan semula bank tanah mereka.

 

Katanya, kumpulan itu dilengkapi dengan simpanan tanah sebanyak 811 hektar dengan anggaran  nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM16.3 bilion untuk mengekalkan pendapatan segmen pembangunan hartanah dalam jangka masa panjang.

 

"Segmen hospitaliti kembali mencatatkan keuntungan pada FY22 (keuntungan sebelum cukaiRM3.2 juta), kami menganggap bahawa kebangkitan dalam aktiviti pelancongan, terutamanya daripada pembukaan semula sempadan China mungkin mengekalkan trend positif," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.41 sesaham. - DagangNews.com