Segmen pembiayaan RCE Capital diunjur catat peningkatan hasil pada 2HFY25 didorong pelarasan gaji penjawat awam | DagangNews Skip to main content

Segmen pembiayaan RCE Capital diunjur catat peningkatan hasil pada 2HFY25 didorong pelarasan gaji penjawat awam

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Public Investment Bank Research (PublicInvestment) mengunjurkan segmen pembiayaan RCE Capital Bhd akan mencatatkan peningkatan hasil pada 2HFY25 didorong pelarasan gaji kakitangan awam yang akan dilaksanakan bermula 1 Disember 2024.

 

Firma penyelidikan itu, segmen pembiayaan kumpulan itu akan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) tiga tahun sebanyak 5% daripada FY24 hingga FY27.

 

"RCE Capital menyaksikan peningkatan dalam pembiayaan tidak berbayar (NPF) daripada RM75.5 juta pada 1QFY24 kepada RM86.9 juta pada 1QFY25, memandangkan peralihan pekerjaan dalam kalangan perkhidmatan awam.

 

"Kualiti aset kumpulan masih sihat kerana NPF semasanya sebanyak 4.3% masih dalam julat 3.7% hingga 4.4% sejak FY19, walaupun ia berada pada bahagian yang lebih tinggi.

 

"Pembiayaan RCE meningkat sebanyak 1.4% kepada RM2.07 bilion, dengan pelarasan gaji yang akan datang dalam kalangan penjawat awam adalah petanda baik untuk kumpulan itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu susut 17.8% kepada RM30.3 juta pada suku pertama berakhir 30 Jun 2024 (1QFY25) berbanding RM36.9 juta setahun sebelumnya, disebabkan oleh elaun yang lebih tinggi untuk kerugian rosot nilai ke atas penghutang.

 

Hasil suku tahunan merosot 5.8% kepada RM79.1 juta daripada RM84 juta pada 1QFY24 disebabkan pendapatan yuran yang lebih rendah, walaupun pendapatan keuntungan meningkat kepada RM72 juta daripada RM71.1 juta.

 

Pada asas suku tahun ke suku tahun, untung bersih meningkat 4.3% daripada RM29 juta, didorong oleh elaun yang lebih rendah untuk kerugian rosot nilai ke atas penghutang dan yuran kemudahan yang ditanggung berbanding suku sebelumnya 4QFY24. 

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM3.18 sesaham. - DagangNews.com