Segmen pembuatan sarung tangan Mah Sing dijangka meningkat pada 2H22 | DagangNews Skip to main content

Segmen pembuatan sarung tangan Mah Sing dijangka meningkat pada 2H22

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Jun - RHB Investment Bank menjangkakan jumlah jualan dan pembuatan bagi segmen sarung tangan Mah Sing akan meningkat secara berperingkat pada separuh kedua 2022.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu baru-baru ini berjaya mendapatkan dua pembeli besar daripada Amerika Syarikat selepas mereka melengkapkan usaha wajar mereka.

 

"Lagi dua pembeli besar daripada AS akan memulakan usaha mereka dan pihak pengurusan berkeyakinan bahawa pelanggan berpotensi itu akan mula membuat tempahan selepas langkah itu dilengkapkan.

 

"Kami berharap bahawa bahagian itu akan mula mencatatkan keuntungan pada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dalam tempoh enam hingga sembilan bulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pihak pengurusan kumpulan itu juga menjangkakan jualan untuk 2QFY22 akan meningkat selepas kejayaan pelancaran beberapa projek seperti M Aruna di Rawang, M Senyum di Salak Tinggi dan beberapa lagi projek siri M.

 

Katanya, prumahan M Senyum sudah habis terjual dan Mah Sing sejak itu sudah mula membuka pendaftaran untuk Fasa 2.

 

"Kenaikan kadar faedah pada Mei tidak begitu memberi kesan kepada penjualan rumah dan kadar pertukaran daripada tempahan kepada pembelian adalah pada nisbah 50%," katanya.

 

Firma itu berkata, lebih 4,000 unit hartanah dijadualkan untuk pemilikan kosong tahun ini, yang sepatutnya menyediakan aliran tunai sekitar RM500 juta.

 

Katanya, perkara itu dilihat akan memberi ruang kepada Mah Sing yang masih mencari kawasan di Lembah Klang untuk dibangunkan untuk perumahan kos sederhana.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM0.65 berbanding RM0.71. - DagangNews.com