Segmen sarung tangan Kossan diunjur catat margin rendah pada separuh pertama 2024 kesan kenaikan harga bahan mentah | DagangNews Skip to main content

Segmen sarung tangan Kossan diunjur catat margin rendah pada separuh pertama 2024 kesan kenaikan harga bahan mentah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mac - Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) mengunjurkan segmen sarung tangan Kossan Rubber Industries Bhd mencatatkan margin yang lebih rendah pada separuh pertama tahun ini disebabkan kenaikan harga bahan mentah dan kos tenaga.

 

Katanya, jumlah jualan sarung tangan kumpulan itu dijangka tidak berubah dan kadar penggunaan kilangnya juga tidak menunjukkan sebarang peningkatan ketara.

 

Kossan kini menjual sarung tangan nitril pada harga AS$16 bagi setiap 1,000 keping manakal purata harga jualan (ASP) campuran adalah antara AS$19 hingga AS$20 bagi setiap 1,000 keping. 

 

Sementara itu, pengeluar sarung tangan China menjual pada ASP campuran AS$15 hingga US$16 setiap 1,000 keping.

 

"Kami percaya pertumbuhan ASP akan dihadkan sepanjang FY24, sebahagian besarnya disebabkan oleh persaingan penetapan harga yang sengit daripada pembuat sarung tangan China. 

 

"Pengurusan menjangkakan jumlah jualan kekal tidak berubah pada FY24 kerana pelanggan masih menunjukkan keengganan untuk membuat pesanan bersaiz besar dan tidak bersedia menerima sebarang semakan harga," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu mengecilkan bilangan tenaga kerjanya kepada 4,000 orang berbanding 6,000 orang sebelum ini bagi meningkatkan margin keuntungan operasi dan inisiatif itu dilengkapi strategi kepada semula dan menambah usaha automasi serta pendigitalan.

 

"Kami mendapati harga bahan mentah telah meningkat sejak Oktober 2023. Kami menjangkakan aliran itu akan membawa kepada pengurangan margin operasi pada separuh pertama tahun ini.

 

"Harga gas asli juga meningkat daripada AS$2.6/MMBtu pada Ogos 2023 kepada AS$3.1/MMBtu pada Oktober 2023, yang akan diterjemahkan kepada tarif gas yang lebih tinggi pada separuh pertama tahun ini tetapi ia dijangka kembali normal pada separuh kedua," katanya.

 

PublicInvest mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.38 sesaham. - DagangNews.com