Sekatan pergerakan boleh jejaskan prospek dagangan Malaysia | DagangNews Skip to main content

Sekatan pergerakan boleh jejaskan prospek dagangan Malaysia

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Julai - Situasi pandemik semasa dilihat akan terus menjejaskan prospek perdagangan Malaysia meskipun tempoh sekatan pergerakan hanya memberi impak sementara. 

 

Malah, firma-firma penyelidikan turut menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini.

 

Menurut MIDF Research, ini kerana terdapat beberapa kilang dan perniagaan yang berorientasikan perdagangan telah terjejas dengan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Selangor dalam tempoh 2 minggu pertama Julai.

 

Pada masa sama, katanya, pandemik ini turut menyebabkan permintaan luar daripada negara-negara yang terjejas juga semakin lemah.

 

"Kebimbangan kami ketika ini adalah tempoh lockdown yang berpanjangan dan jangkitan COVID-19 masih kekal tinggi, yang bukan sahaja memberi kesan kepada aktiviti ekonomi tetapi juga prestasi dagangan.

 

"Tetapi, kami yakin tempoh ini hanya sementara kerana aktiviti ekonomi dijangka dapat beroperasi menjelang hujung tahun ini apabila lebih ramai sudah menerima vaksin dan imuniti kelompok dapat dicapai," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu mengekalkan unjuran eksport dan import masing-masing berkembang pada 13.5% dan 12.7% tahun ini. 

 

Ini kerana, katanya, di sebalik penularan wabak COVID-19, permintaan bagi peranti perubatan semakin meningkat sekali gus memacu permintaan bagi produk berasaskan getah. 

 

"Bagi eksport berasaskan sumber pula, permintaan luar yang berkembang akan menyokong prospek dagangan bagi produk berasaskan minyak sawit dan petroleum," katanya.

 

MIDF Research menjangkakan kesan asas semakin berkurangan pada masa akan datang dan pertumbuhan akan lebih menyederhana dan normal apabila memasuki separuh kedua 2021.

 

 

Baca : Perdagangan Malaysia melebihi RM1 trilion pada separuh pertama 2021

 

 

Eksport Malaysia pada Jun mencatat pertumbuhan kukuh buat bulan ke-10 berturut-turut sejak September 2020 dengan berkembang 27.2% kepada RM105.47 bilion.

 

Import pula naik 32.1% kepada RM83.23 bilion dan lebihan dagangan berkembang 11.7% kepada RM22.24 bilion. 

 

Bagi tempoh separuh pertama 2021, jumlah perdagangan Malaysia melepasi paras RM1 trilion, iaitu tempoh tersingkat pernah dicatatkan bagi mencapai tanda aras ini. 

 

Dalam tempoh ini, perdagangan bernilai RM1.056 trilion, berkembang 26% berbanding tempoh sama tahun lepas. 

 

Sementara itu, CGS-CIMB berkata, di sebalik sekatan pergerakan, aktiviti dagangan mencatat prestasi kukuh menjangkaui jangkaan penganalisis dengan berkembang 10.4% bulan ke bulan dan 29.3% tahun ke tahun pada Jun.

 

"Sekatan pergerakan secara berterusan dilihat terus menjejaskan permintaan domestik di sebalik kekangan fiskal, sentimen perniagaan dan isi rumah yang berhati dan kapasiti operasi dengan prosedur standard operasi (SOP) yang ketat.

 

"Tetapi, kadar vaksinasi yang bergerak pantas akan menyokong pembukaan ekonomi pada suku keempat ini, dan meletakkan Malaysia di landasan pemulihan pada 2022," katanya.

 

Firma itu mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 3.9% tahun ini manakala 4.7% pada 2022.

 

Kenanga Investment Bank Research pula menjangkakan aktiviti dagangan akan mencatat pertumbuhan kukuh tahun ini walaupun terbatas disebabkan penutupan sektor ekonomi tidak penting bagi mengekang penularan wabak ini.

 

Katanya, prestasi suku kedua yang cemerlang juga dilihat dilihat akan menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 11.7% setelah mengambil kira eksport bersih yang menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi dan juga kesan asas yang rendah. 

 

"Namun, permintaan domestik akan terjejas memandangkan langkah sekatan yang masih dilaksanakan sejak 1 Jun lalu.

 

"Ini secara tidak langsung memberi risiko penurunan kepada unjuran KDNK tahun ini, yang mana kami menyemak semula unjuran lebih rendah kepada 4 hingga 5% berbanding 5 hingga 6% sebelum ini," katanya. - DagangNews.com