Sekatan pergerakan di China tidak beri kesan kepada Kelington Group | DagangNews Skip to main content

Sekatan pergerakan di China tidak beri kesan kepada Kelington Group

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Mei - Malacca Securities menjangkakan sekatan pergerakan yang diperkenalkan China sejak Mac 2022 tidak memberi kesan kepada Kelington Group Berhad yang berjaya meraih projek baharu di Beijing bernilai sekitar RM80 juta.

 

Firma itu bagaimanapun kekal berhati-hati dengan impak terhadap operasi kumpulan itu di China dan percaya ia boleh diuruskan dengan baik sekiranya berlaku sebarang kelewatan untuk suku tahun akan datang.

 

Katanya, jualan global untuk semikonduktor semakin menunjukkan peningkatan dengan rekod 23% dari tahun ke tahun iaitu AS$151.7 bilion (RM667.15 bilion) pada suku pertama 2022.

 

Ia menggambarkan bahawa permintaannya kekal tinggi dan firma itu menjangkakan kumpulan itu akan berada di kedudukan terbaik untuk memanfaatkan perkara itu selepas mengambil kira rekod mereka yang memiliki kepakaran dalam sistem penyampaian Ultra High Purity (UHP).

 

"Kami mengjangkakan segmen UHP akan terus menyumbang kepada pendapatan kumpulan dan ia akan dibantu oleh kerja-kerja fabrikasi wafer.

 

"Pada masa sama, segmen kontrak am akan memberi tumpuan kepada kerja pembinaan berskala besar seperti yang diraih di Sarawak, manakala segmen gas industri akan fokus kepada skim bekalan gas untuk syarikat semikonduktor optoelektronik terbesar yang terletak di Kulim," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, projek bernilai sekitar RM80 juta itu bermula pada Mei 2022 dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2024 dan ia akan menyumbang margin satu digit yang tinggi untuk pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA).

 

Menerusi penerimaa projek baharu itu, kumpulan itu berjaya meningkatkan kadar tempahan pada paras RM427 juta dan pertambahan tempahan semasa itu mewakili 61% daripada sasaran pada FY22.

 

"Selepas mengambil kira tempahan itu berada dalam jangkaan, kami tidak membuat sebarang perubahan unjuran terahadap pendapatan kumpulan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' untuk Kelington dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM2.10," katanya. - DagangNews.com