Sekatan AS: Tiada impak besar dalam jualan, pendapatan Top Glove | DagangNews Skip to main content

Sekatan AS: Tiada impak besar dalam jualan, pendapatan Top Glove

Top Glove

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 April - Sekatan atau Perintah Pelepasan Tahan (WRO) oleh Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) dijangka memberi kesan kepada penjualan Top Glove Corporation Berhad (Top Glove) bagi pasaran Amerika Utara.

 

MIDF Research berkata, perkara tersebut bagaimanapun tidak memberi kesan yang besar terhadap jualan dan pendapatan keseluruhan syarikat pengeluar sarung tangan getah terkemuka berkenaan.

 

"Kami percaya bahawa Top Glove akan memindahkan bekalannya ke pasaran lain yang menyaksikan peningkatan semula kes baharu COVID-19 dan masih mendapat permintaan tinggi terhadap produk sarung tangan getah pakai buang.

 

"Pada masa sama, bekalan sarung tangan Top Glove dari kilang-kilang di negara lain masih boleh dieksport ke AS.

 

"Oleh itu, kami tidak menjangkakan WRO akan memberi kesan yang besar terhadap jualan dan pendapatan Top Glove," jelas MIDF Research.

 

Semalam, Top Glove menjalankan satu sidang akhbar berkaitan perkembangan semasa isu sekatan CBP ke atas kumpulannya.

 

Pihak pengurusan Top Glove memberitahu, tiada masalah baharu yang timbul berhubung isu berkenaan dan akan terus menyelesaikan isu yang ada sehingga pihak CBP melonggarkan atau membatalkan sekatan berkenaan.

 

Baca: Top Glove akui sekatan AS jejas operasi di Malaysia

 

Dalam taklimat sama, Top Glove memberitahu bahawa purata harga jualan (ASP) produk sarung tangan getah syarikat akan diubah sekitar 5% untuk menyamai harga pasaran semasa.

 

Mengulas isu berkenaan, MIDF Research berkata, pihaknya berpendapat bahawa pengurangan penjualan di AS berkemungkinan memberi sedikit kesan negatif terhadap ASP.

 

Jelas nota kajian itu, ini kerana ASP Top Glove adalah lebih tinggi di rantau berkenaan.

 

"Kami percaya bahawa agihan ke pasaran lain akan mengurangkan kesannya. Lebih-lebih lagi kapasiti pengeluaran yang terhad akibat penghentian operasi sebelumnya.

 

"Oleh itu, jumlah yang lebih tinggi yang dihasilkan akan cenderung untuk mengimbangi impak perubahan ASP," jelas MIDF Research lagi.

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' saham Top Glove dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM8.29. - DagangNews.com