Sekolah Orang Asli di Ulu Slim terpilih sertai Program Keterangkuman Malaysia Techlympics 2023 anjuran MOSTI | DagangNews Skip to main content

Sekolah Orang Asli di Ulu Slim terpilih sertai Program Keterangkuman Malaysia Techlympics 2023 anjuran MOSTI

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Jun - Sekolah Kebangsaan Pos Bersih Ulu Slim, Perak merupakan antara 50 sekolah terawal yang dipilih untuk Program Jangkauan Malaysia Techlympics 2023 serta Techlympics Makerslab di sekolah itu.

 

Malaysia Techlympics memaklumkan, program ini merupakan satu lagi inisiatif di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk mendekatkan lagi anak muda di kawasan luar bandar seperti di kawasan orang asli dalam aktiviti pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM). 

 

Katanya, program ini juga adalah salah satu elemen pengisian program Malaysia Techlympics untuk melibatkan latihan kepada guru-guru dan sekolah luar bandar. 

 

"Malaysia Techlympics 2023 merupakan inisiatif MOSTI dalam usaha memperkasa Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta memupuk minat generasi muda terhadap STEM melalui pendekatan yang lebih menyeronokkan, membudayakan belia dengan minda, set kemahiran dan inovasi yang lebih bermakna dan berimpak tinggi melalui konsep pertandingan," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Pada tahun lepas katanya, Malaysia Techlympics menerima sebanyak 47 penyertaan dari masyarakat orang asli dan jumlah tersebut dijangka akan meningkat melalui program keterangkuman ini, sekali gus dapat memenuhi tema Malaysia Techlympics 2023 iaitu Keterangkuman Malaysia Madani.

 

Katanya, sempena majlis pelancaran ini, pihak MOSTI turut memberikan sumbangan bernilai RM60,000 melalui ‘Techlympics Makerslab’ yang mana ia turut dilancarkan pada hari yang sama kepada dua buah sekolah iaitu SK Pos Bersih dan juga SK Pos Tenau.

 

"Makmal STEM di dua buah sekolah ini diberikan nafas baru, dilengkapi dengan bahan-bahan pembelajaran STEM yang dapat digunakan murid bagi tujuan pembelajaran seperti robot dan ‘3D printer’. 

 

 

mosti

 

 

"Dengan sokongan dan penglibatan Malaysia Madani, program Keterangkuman Malaysia Techlympics dan penajaan bengkel ‘Techlympics Makerslab’ ini diharap mampu melahirkan masyarakat inovatif bermula daripada usia muda tidak kira latar belakang dalam usaha untuk ‘Merakyatkan Sains dan Menginsankan Teknologi’," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, pihak MOSTI berharap agar lebih ramai penyertaan dalam Malaysia Techlympics datang dari pelajar sekolah luar bandar pada tahun ini, hasil dari program keterangkuman ini. 

 

 

mosti

 

 

mosti

 

 

Rakan usaha sama, para pelajar dan belia dijemput menyertai Malaysia Techlympics dengan mendaftar melalui laman web www.techlympics.my yang kini sudah pun dibuka. 

 

Untuk maklumat lanjut, semua dijemput untuk mengikuti laman sosial https://www.instagram.com/mytechlympics/. - DagangNews.com