Sektor agrikomoditi catat dagangan RM88.3 bilion | DagangNews Skip to main content

Sektor agrikomoditi catat dagangan RM88.3 bilion

Produk berasaskan getah menjadi penyumbang terbesar  keseluruhan eksport agrikomoditi bagi tempoh Januari hingga April 2021.
 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Jun - Sektor agrikomoditi bagi tempoh Januari hingga April 2021 kekal positif dengan merekodkan peningkatan dagangan sebanyak RM34.2 bilion kepada RM88.3 bilion.

 

Bagi tempoh itu juga, imbangan dagangan berjumlah RM48 bilion.

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, pendapatan eksport produk agrikomoditi merekodkan RM68.1 bilion atau 17.6 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara.

 

Katanya, pendapatan ini mencatatkan pertumbuhan positif, 66.5 peratus berbanding RM40.9 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

"Peningkatan ini disebabkan oleh kenaikan ketara harga agrikomoditi utama yang terus mencatatkan peningkatan harga purata sepanjang tempoh 4 bulan itu," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

 

sarung tangan
Permintaan tinggi sarung tangan getah melonjakkan eksport bagi produk berasaskan getah.

 

 

Dalam tempoh itu, produk berasaskan getah merupakan penyumbang terbesar merangkumi 43.9 peratus daripada keseluruhan eksport komoditi.

 

Sektor ini terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila mencatatkan peratusan peningkatan eksport sebanyak 175 peratus atau RM29.9 bilion.

 

Mohd. Khairuddin berkata, peningkatan ini disebabkan oleh lonjakan nilai eksport produk berasaskan lateks terutama sarung tangan getah yang melonjak dua kali ganda iaitu 257.6 peratus kepada RM24.5 bilion berbanding RM6.9 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

 

"Kuantiti eksport bagi sarung tangan getah turut meningkat 12.8 peratus kepada 349,100 tan berbanding 309,400 tan bagi tempoh sama 2020. 

 

"Peningkatan ketara eksport produk berasaskan getah adalah didorong oleh permintaan tinggi daripada sektor kesihatan di seluruh dunia," tambah beliau.

 

sawit
Eksport produk berasaskan sawit menyusut 4.5 peratus bagi tempoh Januari hingga April 2021.

 

 

Bagi produk berasaskan sawit yang merangkumi 40.6 peratus daripada jumlah pendapatan eksport agrikomoditi, meningkat 29.5 peratus iaitu RM27.6 bilion pada tahun ini. 

 

Namun, katanya, kuantiti eksport produk berasaskan sawit menyusut 4.5 peratus kepada 7.2 juta tan berbeza daripada tahun sebelumnya dalam tempoh sama iaitu 7.6 juta tan.

 

Sementara itu, produk berasaskan kayu-kayan merupakan penyumbang ketiga terbesar merangkumi 12.2 peratus kepada pendapatan eksport keseluruhan sektor agrikomoditi dengan nilai eksport berjumlah RM8.3 bilion, meningkat 29.2 peratus.

 

 

koko
Nilai eksport koko bagi tempoh 4 bulan ini berjumlah RM2.2 bilion.

 

 

Pendapatan eksport bagi produk koko dan lada pula masing-masing mencatatkan peningkatan. Pada tahun ini, nilai eksport produk koko berjumlah RM2.2 bilion, meningkat 2.9 peratus berbanding tahun sebelumnya. 

 

Eksport produk lada bagi tempoh berkenaan turut meningkat 28 peratus kepada RM42.1 juta berbanding tahun lalu.

 

Mohd. Khairuddin berkata, berdasarkan prestasi perdagangan sektor agrikomoditi dalam tempoh berkenaan, Kementerian yakin prestasi perdagangan ini akan kekal positif untuk sepanjang baki 2021. 

 

"Kementerian juga percaya melalui suntikan dana tambahan oleh kerajaan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) dan Pemerkasa Plus akan merancakkan lagi momentum pembangunan industri agrikomoditi negara," jelas beliau. - DagangNews.com