Sektor barangan pengguna dijangka terus suram, kerajaan perlu jelaskan isu subsidi bersasar - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Sektor barangan pengguna dijangka terus suram, kerajaan perlu jelaskan isu subsidi bersasar - RHB Investment

RHB Investment juga meramal perbelanjaan pengguna tidak begitu rancak pada masa akan datang kerana paras pendapatan memakan masa untuk menyamai kos sara hidup. - Gambar hiasan Kelvin Zyteng Unsplash
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 25 Mac - Sektor barangan pengguna dijangka kekal suram sehinggalah penjelasan lanjut diberi kerajaan mengenai pelaksanaan pelbagai langkah rasionalisasi subsidi dan cukai penggunaan baharu.

 

RHB Investment Bank berkata, langkah ini perlu supaya para pelabur dapat meramal kesan inflasi yang mungkin berlaku.

 

Firma penyelidikan itu juga meramal perbelanjaan pengguna tidak begitu rancak pada masa akan datang kerana paras pendapatan memakan masa untuk menyamai kos sara hidup.

 

"Bagaimanapun pasaran pekerjaan yang baik dan bantuan yang kerajaan terus disalurkan kepada kumpulan berpendapatan rendah sepatut membantu keseluruhan perbelanjaan dan permintaan pengguna untuk barangan keperluan asasi," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut RHB Investement, pemulihan ketibaan pelancong yang kukuh dijangka menjadi faktor pendorong buat sektor barangan pengguna terutama manfaat kepada pengeluar minuman keras dan syarikat runcit pengguna. 

 

"Tambahan lagi, pengenalan Akaun 3 oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang memberi kelonggaran untuk mengeluarkan simpanan mungkin dapat mendorong perbelanjaan bagi barangan bukan keperluan oleh pengguna tempatan," jelasnya.

 

pasar

 

Menurut firma penyelidikan itu, keputusan suku keempat tahun kewangan 2023 (4Q23) bagi sektor barangan pengguna tersasar daripada jangkaan ekoran perbelanjaan secara berhati-hati oleh pengguna.

 

Katanya, namun pemulihan margin untung kasar (GPM) dilihat membantu syarikat-syarikat pengeluar makanan kerana harga komoditi kian mereda. 

 

"Walaupun perbelanjaan pengguna tampak suram dan adanya potensi impak inflasi akan timbul akibat rasionalisasi subsidi dan cukai penggunaan baharu, kami berpendapat penilaian sektor sudahpun mengambil kira risiko-risiko negatif ini dalam harga dan kes asas kami tidak mengandaikan rasionalisasi subsidi akan memalapkan perbelanjaan pengguna dengan ketaranya," ujarnya.

 

RHB Investment seterusnya menyenaraikan Mr DIY sebagai syarikat pilihan disebabkan oleh asas kewangannya yang kukuh untuk pertumbuhan dalam keadaan yang mencabar ini.

 

Guan Chong juga diketengahkan kerana telah menaikkan harga purata jualan ASP manakala Heineken Malaysia akan meraih manfaat daripada ketibaan pelancong yang semakin meningkat, kata firma itu.

 

"DXN pula diniagakan pada penilaian yang rendah meskipun ia mencatat perolehan dan dividen yang konsisten disebabkan oleh model perniagaannya yang berkesan. 

 

"Akhir sekali, Focus Point patut terus merekodkan pertumbuhan yang mantap, disokong oleh jumlah populasi rabun yang bertambah. Kami menanti-nantikan pemulihan mapan dalam perniagaan makanan dan minumannya," katanya. - DagangNews.com