Sektor hartanah kurang pemangkin, OPR mungkin dinaikkan 25 mata asas pada Q42022 -  HLIB | DagangNews Skip to main content

Sektor hartanah kurang pemangkin, OPR mungkin dinaikkan 25 mata asas pada Q42022 -  HLIB

Kadar kelulusan masih kekal rendah pada Oktober 2021 kerana pembeli masih bergelut dengan masalah kemampuan.  - Gambar hiasan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 21 Dis - Sektor hartanah dijangka terus berdepan persekitaran operasi mencabar apabila melangkah ke 2022 dan kurang pemangkin jangka pendek yang menarik dalam urus niaga hartanah. 

 

Ini membolehkan Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengulangi pandangan 'neutral' terhadap sektor tersebut yang sudah berdepan isu seperti hartanah tidak terjual, kemampuan dan dipengaruhi persekitaran kadar faedah.

 

Penganalisisnya, Nazira Abdullah berkata, sehingga kini tiada sebarang pengumuman dibuat sama ada Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dilanjutkan lagi, memandangkan ia akan berakhir 31 Disember ini.

 

Secara dasarnya, kempen itu dilancarkan pada Januari 2019 dan sepatutnya berakhir pada 30 Jun tahun sama, namun disebabkan permintaan menggalakkan, kerajaan melanjutkan tempoh HOC selama 6 bulan sehingga 31 Disember 2019.

 

Bagaimanapun, HOC diperkenalkan semula 6 bulan kemudian sebagai respons terhadap pandemik COVID-19 yang sepatutnya tamat 31 Mei tetapi dilanjutkan sehingga akhir tahun ini.

 

"Berdasarkan semakan saluran kami, didapati pemaju sudah bersedia sekiranya kempen ini berakhir dan tidak dilanjutkan. 

 

"Kami menjangkakan mereka akan menyerap yuran duti setem dan juga menyediakan diskaun dalam usaha menarik tempahan dalam kalangan pembeli," katanya dalam laporan mengenai prospek hartanah 2022 hari ini. 

 

Menurut beliau, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada suku keempat 2022 (Q42022) kepada 2.00% berbanding 1.75% ketika ini memandangkan pemulihan ekonomi semakin kukuh pada tahun hadapan. 

 

Meskipun kenaikan OPR dijangka menjejaskan permohonan pinjaman gadai janji (disebabkan kebimbangan terhadap kemampuan dan kos faedah yang lebih tinggi bagi pembiayaan projek), tetapi ia masih kekal terurus.

 

Ini kerana katanya, kenaikan pada kadar itu (2.00%) masih di tahap rendah berbanding sebelum COVID-19 sebanyak 3.00%. 

 

"Simulasi kami menunjukkan kenaikan 25 mata asas ini akan memberi kesan sebanyak 3.2% ke atas bayaran bulanan pinjaman manakala 50 mata asas pula memberi impak sebanyak 6.5%," jelasnya. 

 

Pada Oktober 2021, permohonan pinjaman gadai janji menyederhana kepada RM31.9 bilion selepas mencapai paras tertinggi pada April 2021 sebanyak RM36.7 bilion. 

 

Tetapi, kadar kelulusan masih kekal rendah 32.2% pada Oktober 2021 kerana pembeli masih bergelut dengan masalah kemampuan. 

 

"Kami berpendapat, keadaan ini berpunca daripada paras hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi (89.6% pada separuh pertama 2021). 

 

"Ini menyebabkan peminjam hilang kelayakan mendapat pinjaman kerana nisbah khidmat hutang (DSR) yang sudah tinggi ditambah dengan pengurangan/kehilangan pendapatan semasa tempoh pandemik," katanya. 

 

Namun, Nazira berkata, dengan mengambil kira asas yang rendah pada 2020 dan 2021, jumlah transaksi pada 2022 dijangka menunjukkan peningkatan memandangkan ekonomi yang pulih daripada wabak COVID-19.

 

Pada masa sama, katanya, syarikat hartanah berada dalam landasan tepat untuk mencapai sasaran masing-masing berdasarkan prestasi suku ketiga.

 

"Bagi 2022, kami mendapati bahawa pemaju berhati-hati tetapi optimis terhadap jualan hartanah dan turut meletakkan sasaran yang mendatar kepada lebih baik sedikit bagi tahun ke tahun," tambahnya.

 

Bagi syarikat hartanah di bawah liputannya, firma itu memilih saham Sunway Bhd. dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM2.58 kerana kedudukannya sebagai konglomerat dalam sektor pembinaan dan hartanah. 

 

Selain itu, ia turut memilij Matrik Concept Holdings Bhd. dengan saranan 'beli' pada TP RM2.54 diikuti Lagenda Properties Bhd. (saranan 'beli', TP : RM2) memandangkan kedua-duanya dipacu oleg segmen rumah mampu milik dengan hasil dividen antara 5 hingga 7%. - DagangNews.com