Sektor komoditi sumbang RM85.1 bilion dalam KDNK | DagangNews Skip to main content

Sektor komoditi sumbang RM85.1 bilion dalam KDNK

Komoditi sawit

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Mac. - Sektor komoditi dan produk berasaskan komoditi menyumbang sebanyak RM85.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh sehingga 31 Disember 2020.

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, jumlah tersebut sekali gus menjadikan sektor berkenaan antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara. 

 

Mohd. Khairuddin Aman Razali
Mohd. Khairuddin Aman Razali

 

"Daripada jumlah ini, sebanyak RM48.3 bilion disumbangkan oleh sektor sawit. 

 

"Bagi memastikan prestasi sektor komoditi negara kekal mampan, modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran amat diperlukan.

 

"Faktor ini adalah penting agar produktiviti sektor komoditi dapat dipertingkatkan lagi bagi menjana pendapatan negara," jelas beliau.

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 yang berlangsung secara maya hari ini.

 

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

 

Baca: Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 tawar lebih 8,600 jawatan kosong

 

Tambah beliau, penularan wabak COVID-19 memberi kesan yang amat signifikan serta mengubah corak kehidupan masyarakat sehingga mewujudkan norma baharu, termasuklah ke atas landskap aktiviti ekonomi negara.

 

Bagaimanapun, norma baharu tersebut secara tidak langsung telah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan terutamanya kepada warga tempatan.

 

"Setakat hari ini, terdapat lebih 60,000 kekosongan jawatan dalam sektor komoditi dan penganjuran karnival kerjaya yang pertama ini akan memfokuskan kepada beberapa sektor komoditi seperti sawit, getah, kayu kayan, kenaf, koko dan lada.

 

"Ini merupakan jumlah yang besar dan saya menyeru supaya rakyat tempatan khususnya para pencari kerja merebut peluang sebegini untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai," jelas beliau lagi. - DagangNews.com