Sektor pelancongan jana berbilion ringgit perlu bantuan kerajaan untuk terus relevan di pasaran - MPN | DagangNews Skip to main content

Sektor pelancongan jana berbilion ringgit perlu bantuan kerajaan untuk terus relevan di pasaran - MPN

Lokasi agropelancongan di Janda Baik Pahang sudah mula dikunjungi pelancong tempatan dan luar negara. Pengusaha PMKS di sini perlu suntikan modal untuk terus bertahan.

APABILA negara membuka sempadan bermula 1 April 2022, para pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sektor pelancongan ternyata tidak bersedia berdepan kemasukan tetamu tempatan dan antarabangsa.


 
Mereka seolah-olah kehilangan arah untuk memulakan langkah. Dua tahun menyepi kesan pandemik, tiba-tiba perlu memulakan operasi, agak sukar berhadapan situasi begini disebabkan kekurangan aliran tunai.

 

Tinjauan MPN ke beberapa kawasan inap desa (homestay) di Pahang, Kedah dan Perak baru-baru ini mendapati, pengusaha terpaksa mengehadkan tempahan kerana tidak semua unit inap desa berada dalam keadaan sempurna.

 

 

inapdesa

 


 
Seorang pengusaha yang ditemui mengaku terpaksa menggadai barang kemas bagi mendapatkan aliran tunai untuk memulakan operasi.

 

Beliau perlukan suntikan modal untuk menyelenggara seberapa unit inap desa supaya pengunjung lebih selesa dan selamat. Sepanjang tempoh 25 tahun beroperasi, inilah saat paling getir dalam perniagaan yang diceburi.

 
 
Namun peringatan mengenai akan berlaku lonjakan industri pelancongan global sudah dijangka oleh Pertubuhan Pelancongan Sedunia (UNWTO) menerusi laporan yang diterbitkan awal tahun ini.


 
Setiausaha Agung UNWTO Zurab Pololikashvili berkata, sektor pelancongan antarabangsa pulih dengan selesa walaupun berhadapan cabaran getir kerana prosedur perjalanan dan urusan dokumentasi di semua pintu masuk setiap negara tidak seperti sebelum ini.

 

 

Zurab Pololikashvili
                  Zurab Pololikashvili

 


 
UNWTO menganggarkan 474 juta pelancong aktif sepanjang tahun ini, iaitu kenaikan 172 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Ramalan UNWTO tepat apabila sejumlah 207 juta pelancong menjana ekonomi untuk tempoh dua bulan sahaja iaitu Jun dan Julai lalu.


 
Senario ini sekali gus memberi gambaran awal bahawa sektor pelancongan Malaysia negara juga mengalami peningkatan ketara berdasarkan unjuran konservatif UNWTO iaitu 44 peratus bagi zon Asia Pasifik. Industri pelancongan dan hospitaliti tempatan menerima tempias kesan kemasukan pelancongan antarabangsa dengan kadar kenaikan yang begitu selesa.

 

Pastinya penyedia dasar negara sudah menyedari hal ini akan berlaku, namun masih berada dalam keadaan tunggu dan lihat kesan serangan virus omicron pada awal tahun ini. Namun ternyata kesan wabak berkenaan terkawal memandangkan majoriti rakyat sudah menerima suntikan pertama, kedua dan juga dos penggalak, booster.

 

Namun ironinya di sini, peserta agropelancongan tempatan berhadapan masalah getir iaitu kekurangan modal untuk memulakan semula perniagaan. Tempahan daripada pengunjung dari Singapura, Jepun, Australia dan Eropah terpaksa dihadkan.

 

Justeru bagi menangani situasi itu, menjadi tanggugjawab kerajaan memperkenalkan moratorium pasca COVID 19 demi survival 20,000 PMKS inap desa untuk bernafas semula.


 
Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) pada laporannya berakhir 31 Ogos lalu menyatakan sektor inap desa negara mampu menjana perolehan sehingga RM29 bilion tahun ini. Unjuran itu sangat jelas dan memerlukan tindakan proaktif kerajaan membantu PMKS untuk terus relevan di pasaran.

 

 

inapdesa

 


 
Tidak ada alasan mengatakan pemberian moratorium bergantung kepada keputusan institusi perbankan. Helah ini tidak boleh diterima kerana kerajaan menerusi Kementerian Kewangan berhak memutuskan pemberian moratorium pasca COVID 19 sebagai mandatori kepada semua PMKS yang mempunyai urusan pinjaman dengan bank di bawah seliaan mereka.


 
Keadaan menjadi lebih serius apabila kesan pandemik membawa masalah inflasi sekali gus meningkatkan kos sara hidup selain bebanan untuk membayar balik pinjaman yang meningkat kesan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM).


 
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam usahanya ke arah pemulihan sektor pelancongan pasca COVID-19 berkata, institusi perbankan perlu bersifat anjal kepada peminjam dalam kalangan PMKS sektor pelancongan.


 

MPN


 

MPN sudah mengemukakan cadangan pemberian moratorium pasca COVID-19 kepada semua peserta PMKS pelbagai sektor ekonomi. Namun sehingga kini masih tidak ada sebarang tindakan daripada kerajaan.


 
Kelewatan ini dikhuatiri membawa kesan lebih serius kepada pengusaha inap desa. Sukar untuk mereka terus bertahan dan mengambil keputusan menghentikan operasi yang akhirnya merugikan semua pihak. - DagangNews.com