Sektor pelancongan ‘lubuk’ keuntungan baharu MyEG | DagangNews Skip to main content

Sektor pelancongan ‘lubuk’ keuntungan baharu MyEG


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Peranan sebagai agregator pengurusan kuarantin untuk kemudahan swasta membuka peluang kepada MyEG Services Berhad (MyEG) meluas ke dalam perniagaan agensi pelancongan dalam talian (OTA).  

MyEG kini dalam proses memasukkan hotel sebagai lokasi kuarantin swasta dan menyasarkan kutipan yuran sebanyak 3% hingga 5% sebagai OTA.

“Kami melihat ini sebagai usaha menarik bagi MyEG yang berpotensi meniru modelnya untuk menjual perkhidmatan tambah nilai seperti insurans perjalanan kepada pelancong.

“Dalam pada itu, pihak pengurusan MyEG juga melihat platform e-pembayarannya dan pengurusan kuarantin berpotensi untuk digunapakai di beberapa negara lain.

“Sebagai contoh, kumpulan itu sedang berunding dengan pihak berkuasa untuk melaksanakan platform sama di Filipina,” kata CGS-CIMB Research dalam nota kajiannya. 

Sebelum itu, MyEG berjaya meraih konsesi e-pembayaran yang baru-baru ini diberikan untuk pemeriksaan ujian dan pengurusan kuarantin COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan.

Dalam video persidangan CGS-CIMB dengan MyEG, syarikat itu memberitahu bahawa konsesi berkenaan merupakan kesinambungan kepada projek Visa Luar Negara (VLN) pada awal 2020.

Jelas MyEG, kerajaan kini menumpukan penambahbaikan proses ujian COVID-19 dan pengurusan kuarantin bagi mengekang kes import.

Ini seterusnya mendorong pembukaan semula sempadan dan perjalanan untuk merancakkan semula industri pelancongan. 

Bagi CGS-CIMB, ini merupakan sebuah revolusi kepada MyEG memandangkan kumpulan syarikat dapat meraih sejumlah besar pelancong, dibandingkan dengan hanya negara-negara terpilih yang memerlukan visa di bawah projek VLN.

“Bagaimanapun, perkhidmatan itu bergantung kepada pembukaan semula sempadan yang akan ditentukan oleh kerajaan,” tambah CGS-CIMB. 

MyEG dijangka memperoleh RM93 juta hingga RM120 juta daripada keseluruhan hasil pada tahun kewangan 2021 dan 2022, berdasarkan 1% ketibaan pelancong asing yang menggunakan perkhidmatan ujian tindak balas rantai polimer (PCR). 

“Secara keseluruhannya, kami meningkatkan perolehan sesaham 2021 dan 2022 sebanyak 7% hingga 10%. Kami kekalkan saranan ‘tambah’ dengan sasaran harga saham lebih tinggi sebanyak RM2.10,” kata CGS-CIMB. - DagangNews.com