Sektor pembinaan bertambah baik didorong peningkatan buruh asing dan penyusutan harga logam – Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Sektor pembinaan bertambah baik didorong peningkatan buruh asing dan penyusutan harga logam – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Mac - Kenanga Research percaya pendapatan sektor pembinaan di Malaysia tahun ini akan bertambah baik berikutan buruh asing telah beransur kembali, dan harga logam keluli dan aluminium menyusut baru-baru ini

 

Peruntukan besar Belanjawan 2023 untuk pembangunan akan mendorong penambahan projek termasuk MRT3 dan Lebuhraya Pan Borneo Fasa 2 yang akan memacu sektor pembinaan, demikian menurut firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.

 

“Selain itu, memandangkan syarikat multinasional (MNC) mempelbagaikan pangkalan pembuatan mereka jauh dari China untuk mengurangkan risiko, terdapat peluang dalam pembinaan loji semikonduktor baharu dan pusat data tempatan yang mempunyai nilai kontrak lebih besar antara RM1 bilion hingga RM 1.5 bilion,” katanya.

 

Sementara itu, kebanyakan kontrak baharu yang sedang dirundingkan akan menggabungkan harga terkini dan juga dengan unsur variasi harga terbina untuk melindungi margin sekiranya berlaku perubahan besar dalam harga material, tambahnya.

 

“Oleh itu, kami percaya margin keseluruhan harus bertambah baik secara beransur apabila kerja lama dengan margin rendah berhenti dan digantikan dengan projek baharu diselaraskan untuk kos input yang tinggi bermula,” kata firma itu.

 

Menurut firma itu, margin pembinaan kebanyakan kontraktor pada tahun lalu masih di bawah paras pra-Covid berikutan kos bahan binaan yang melambung tinggi dan kekurangan buruh kecuali Gamuda Berhad dan Sunway Construction Group Berhad yang mempunyai margin lebih kukuh disebabkan penjimatan kos daripada projek hampir siap.

 

Di samping itu, buku pesanan syarikat pembinaan juga dilihat menarik, di mana Gamuda, Sunway Construction dan Kerjaya Prospek Group Berhad berjaya meningkatkan buku pesanan tertunggak disebabkan kepelbagaian geografi dan penembusan projek bangunan baharu seperti pusat data dan kilang semikonduktor

 

Gamuda Berhad menjadi pilihan utama firma tersebut dengan harga sasaran (TP) RM5.25 memandangkan ia pelopor kerja terowong MRT3 di samping telah meraih projek di Australia dan Singapura dan kewangan yang kukuh selepas melupuskan lebuh raya bertolnya.

 

Gamuda juga mempunyai keterlihatan pendapatan yang kukuh disokong oleh buku pesanan tertinggi sebanyak RM22 bilion dan ia mempercepatkan pertumbuhan kumpulan dalam ruang tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘overweight’ bagi sektor pembinaan berdasarkan penambahan buku pesanan yang lebih baik dan prospek pendapatan tahun ini. -DagangNews.com