Sektor pembinaan Q2 2021 melonjak 46.2% - Jabatan Perangkaan | DagangNews Skip to main content

Sektor pembinaan Q2 2021 melonjak 46.2% - Jabatan Perangkaan

 

 


KUALA LUMPUR 9 Ogos - Sektor pembinaan mencatatkan pertumbuhan 42.6% pada suku kedua 2021 berjumlah RM28.2 bilion, tertinggi selepas suku kedua 2012 disebabkan kesan asas yang rendah pada tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan. 

 

Bagaimanapun, dari segi perbandingan suku tahun, ia menyusut 10.5% berbanding suku pertama pada RM31.4 bilion. 

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, subsektor aktiviti pertukangan khas memacu pertumbuhan yang lebih tinggi pada 75% peratus pada suku kedua 2021 berbanding suku sama tahun sebelumnya. 

 

Katanya, bagi 3 subsektor lain, iaitu kejuruteraan awam, bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman masing-masing menunjukkan pertumbuhan 59.5%, 37% dan 18% berbanding suku tahun yang sama pada 2020.

 

"Nilai kerja pembinaan adalah didominasi oleh subsektor kejuruteraan awam sejak suku keempat 2015 dengan sumbangan 40.7%. 

 

"Ini diikuti bangunan bukan kediaman (28.2%), bangunan kediaman (22.6%) dan aktiviti pertukangan khas (8.6%)," katanya dalam laporan statistik pembinaan suku kedua 2021 hari ini.

 

Berdasarkan statistik itu, sektor swasta terus mendorong pertumbuhan aktiviti pembinaan dengan menyumbang 53.7% atau RM15.2 bilion daripada jumlah nilai kerja pembinaan berbanding sektor awam yang menyumbang 46.3% nilai kerja pembinaan (RM13.1 bilion).

 

Pada separuh pertama 2021, nilai kerja pembinaan mencatatkan RM59.6 bilion dengan pertumbuhan 8.7% berbanding tempoh sama tahun lalu. - DagangNews.com