Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 April - Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia IHS Markit meningkat kepada 49.9 mata pada Mac 2021 berbanding 47.7 mata pada Februari, paras tertinggi sejak Julai 2020.
Ini secara tidak langsung menunjukkan operasi yang semakin stabil pada bulan tersebut memandangkan pengeluar membuat persediaan yang lebih baik.
AmBank Research berkata, bagaimanapun firma terus berdepan dengan gangguan rantaian bekalan dengan harga input dan output terus melonjak ke paras empat tahun tertinggi.
"Namun, limpahan daripada permintaan global di tengah-tengah persekitaran teknologi, sentimen perniagaan dan pengguna yang lebih baik dan keadaan beransur-ansur kembali normal akan memberi manfaat kepada sektor pembuatan tahun ini.
"Kami juga telah menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 5.5 hingga 6%," katanya dalam nota kajian hari ini.
Semalam, Ketua Ekonomi Perniagaan IHS Markit, Chris Williamson berkata, sektor pembuatan Malaysia terus melangkah maju menuju pemulihan pada Mac, dengan penurunan kadar tempahan dan eksport semakin berkurangan.
Katanya, ketika pengeluaran semasa masih perlahan, firma meningkatkan usaha yang lebih baik pada masa depan, terutama berkaitan pengambilan pekerja.
Sementara itu, MIDF Research berkata, peningkatan PMI Malaysia pada Mac menandakan operasi persekitaran yang lebih stabil selepas 7 bulan berturut-turut menguncup.
"Sepanjang bulan ini, tahap pengeluaran dan tempahan baharu merekodkan penurunan, dan kemudiannya mencecah paras tertinggi 5 bulan.
"Permintaan asing bagi barangan keluaran Malaysia juga perlahan sejak Jun 2020 dengan beberapa firma melaporkan mendapat pesanan semula dari Asia dan Amerika Syarikat (AS)," katanya.
Jelasnya lagi, penurunan kes COVID-19 di beberapa negara termasuk Malaysia susulan pelancaran vaksin di seluruh dunia dilihat membantu menstabilkan semula aktiviti dengan merangsang pengeluaran dan jualan pada masa akan datang.
Kenanga Research pula menjangkakan aktiviti pembuatan akan kembali meningkat apabila sekatan di peringkat domestik semakin dilonggarkan dan pengagihan vaksin secara meluas di seluruh dunia.
Bagaimanapun, firma ini memberi amaran masih wujud risiko penurunan memandangkan Eropah berdepan dengan gelombang baharu jangkitan COVID-19 dan perintah berkurung, sekali gus meningkatkan kebimbangan kepada pemulihan ekonomi global.
"Kami tetap mengekalkan pertumbuhan pembuatan tahun ini pada 6% di tengah-tengah prospek pertumbuhan ekonomi dengan KDNK diunjur berkembang pada 4.5%," katanya. - DagangNews.com