Sektor pembuatan Malaysia dijangka berkembang kukuh pada 2022 | DagangNews Skip to main content

Sektor pembuatan Malaysia dijangka berkembang kukuh pada 2022

Gambar hiasan
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Feb - Prospek sektor pembuatan bagi 2022 dijangka terus kekal kukuh setelah Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) mencatat pertumbuhan 7.4% tahun lalu berbanding -4.4% pada 2020.

 

Berbanding tempoh sebelum berlakunya COVID-19 pada 2019, IPI menokok 2.7% manakala Indeks Pembuatan bertambah sebanyak 6.6%.

 

AmInvestment Bank Research berkata, prestasi sektor pembuatan dijangka terus kekal kukuh dipacu eksport bagi produk elektrik dan elektronik (E&E), produk bahan kimia dan getah yang akan terus mendapat manfaat daripada permintaan global.

 

Selain itu, katanya, aktiviti pembuatan domestik pula akan mendapat kelebihan daripada pembukaan semula ekonomi dan sempadan negara dijangka 1 Mac 2022.

 

"Pembukaan semula sempadan dan juga sumbangan daripada aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) dalam bentuk pengembangan dan pelaburan baharu, harga komoditi yang kukuh dan asas rendah, ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.4% tahun ini dan dengan kenaikan sehingga 6%," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Semalam, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pengembangan IPI pada Disember 2021 yang meningkat 5.8% disumbangkan oleh peningkatan 8.4% dalam Indeks Pembuatan dan 3.7% dalam Indeks Elektrik manakala Indeks Perlombongan mencatatkan penurunan sebanyak 2.5%.

 

IPI bagi suku keempat 2021 meningkat 6.9% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya dengan pengembangan ini disebabkan oleh pertumbuhan dalam Indeks Pembuatan (9.2%) dan Indeks Elektrik (4.3%) manakala Indeks Perlombongan menguncup 0.8%.

 

Sementara itu, MIDF Research mengunjurkan IPI akan berkembang pada kadar sederhana, 4.3% tahun ini selepas mencatat pertumbuhan kukuh tahun lalu. 

 

Katanya, dengan permintaan global untuk barangan perkilangan dan alat ganti serta komponen E&E terus berkembang, pertumbuhan permintaan luar yang mampan akan menyokong pengeluaran pembuatan Malaysia.

 

"Prospek permintaan yang bertambah baik disokong aktiviti perbelanjaan domestik akan menyokong prospek IPI tahun ini.

 

"Namun, di sebalik cabaran awal tahun ekoran pandemik global yang masih berterusan dan isu bekalan, kami menjangkakan pengeluaran perindustrian akan terus berkembang tahun ini didorong permintaan yang meningkat," jelasnya. - DagangNews.com