Sektor penerbangan dijangka rekod rugi bersih AS$118.5 bilion - IATA | DagangNews Skip to main content

Sektor penerbangan dijangka rekod rugi bersih AS$118.5 bilion - IATA

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Krisis COVID-19 akan terus 'menyeksa' sektor penerbangan global dengan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menganggarkan kerugian yang dialami industri berkenaan semakin memburuk. 

 

Tahun ini, sektor itu dijangka merekodkan kerugian bersih sebanyak AS$118.5 bilion, meningkat lebih tinggi berbanding unjuran Jun lalu, AS$84.3 bilion. 

 

Bagi 2021 pula, ia diunjur meningkat lebih sekali ganda pada AS$38.7 bilion berbanding unjuran awal, AS$15.8 bilion sebelum itu dengan jangkaan separuh kedua akan menunjukkan prestasi yang lebih baik. 

 

Ketua Pengarah dan ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac berkata, syarikat penerbangan telah mengurangkan kos sehingga 45.8% tetapi perolehan masih menurun 60.9%. 

 

Katanya, ini menyebabkan syarikat penerbangan akan kerugian AS$66 setiap penumpang yang dibawa tahun ini sekali gus meningkatkan jumlah kerugian bersih kepada AS$118.5 bilion.  

 

"Meskipun kerugian yang ditanggung berkurangan sebanyak AS$80 bilion pada 2021 tetapi dengan angka AS$37.8 bilion ia tidak bermakna selagi pembukaan sempadan belum dibuka dengan selamat dan penumpang tidak perlu melalui proses kuarantin.

 

"Melihat kepada situasi ini, syarikat penerbangan akan terus berdepan masalah aliran tunai sekurang-kurangnya sehingga suku keempat 2021," katanya dalam kenyataan. 

 

Tahun ini, ia menyaksikan perolehan sektor itu jatuh setengah trilion dolar daripada AS$838 bilion pada 2019 kepada AS$328 bilion manakala syarikat penerbangan pula telah mengurangkan kos sehingga AS$365 bilion (daripada AS$795 bilion 2019 kepada AS$430 bilion pada 2020). 

 

Jumlah penumpang dijangka menurun kepada 1.8 bilion, menyusut 60.5% daripada 4.5 bilion penumpang pada 2019. Ini adalah jumlah yang hampir sama dengan industri yang dialami pada 2003.

 

IATA menyifatkan 2020 sebagai tahun kewangan paling buruk dalam sektor penerbangan global. 

 

"Tanpa bantuan kewangan kerajaan sebanyak AS$173 bilion, kita akan menyaksikan lebih banyak syarikat penerbangan yang bankrap," kata Alexandre.

 

Menurut beliau, dengan menjangkakan sempadan akan dibuka pada pertengahan 2021 termasuk ujian dan kesediaan vaksin COVID-19, keseluruhan pendapatan dijangka meningkat kepada AS$459 bilion. 

 

Walaupun ia menyaksikan peningkatan AS$131 bilion berbanding 2020 tetapi masih menyusut 45% berbanding pendapatan yang direkodkan pada 2019 sebanyak AS$838 bilion. 

 

"Sebagai perbandingan, kos hanya dijangka meningkat sebanyak AS$61 bilion, sekali gus meningkatkan keseluruhan prestasi kewangan. 

 

"Namun syarikat penerbangan masih berdepan kerugian dengan kos sebanyak AS$13.78 bagi setiap penumpang yang dibawa," katanya.

 

Alexandre berkata, pendapatan dijangka bertambah pada akhir 2021 walaupun separuh pertama tahun hadapan sektor penerbangan masih bergelut dengan pelbagai cabaran. 

 

"Proses pemulihan sektor ini masih panjang dan sukar. Jumlah penumpag juga tidak akan kembali ke paras 2019 sekurang-kurangnya sehingga 2024 dengan pasaran domestik akan cepat pulih berbanding antarabangsa," katanya. - DagangNews.com