Sektor penerbangan tidak pulih dalam masa terdekat - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Sektor penerbangan tidak pulih dalam masa terdekat - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 April - Walaupun program vaksinasi yang telah berjalan di Malaysia mencetuskan keyakinan sektor penerbangan akan kembali normal lebih pantas, namun penganalisis menjangkakan industri itu hanya akan pulih beransur-ansur mulai Julai depan.

 

Penganalisis di Kenanga Research, Raymond Choo Ping Khoon percaya syarikat penerbangan termasuk AirAsia Group Berhad akan terus berdepan cabaran keadaan untuk beroperasi.

 

Ini akan berlanjutan sekurang-kurangnya bagi tempoh separuh pertama tahun 2021 (2H21) sehingga vaksin diedarkan secara meluas memandangkan terdapat kemungkinan penularan pandemik COVID-19 meningkat semula, ujar Ping Khoon.

 

“Bagi sektor berkenaan, kami lebih memilih Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) yang memonopoli pengendalian lapangan terbang di negara ini. Perjanjian Operasi (OA) yang belum ditandatangani mungkin menjadi perangsang kepada pemangkin penilaian semula ke atas MAHB. 

 

“AirAsia sebaliknya masih perlu mengumpul modal kerana berdepan penyusutan muatan penumpang dan cabaran aliran tunai. 

 

“Dari segi pilihan, kami menyukai MAHB sebagai pengendali monopoli untuk lapangan terbang di negara ini dengan adanya vaksin yang memperbaharui keyakinan bagi perjalanan udara untuk kembali normal, walaupun beransur-ansur,” kata beliau dalam nota kajiannya hari ini.

 

Walau bagaimanapun, Ping Khoon melihat prestasi kewangan AirAsia dan MAHB bagi suku keempat 2020 (4Q20) mencatatkan angka yang lebih rendah daripada jangkaan. 

 

Hasil MAHB bagi tempoh berkenaan jatuh 34% ekoran pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Malaysia selain perintah berkurung di Turki bermula November tahun lalu. 

 

Malah, trafik penumpang bagi operasi Malaysia menguncup sebanyak 53.3% kepada 2.1 juta penumpang berbanding 4.5 juta dicatatkan bagi suku sebelumnya.

 

Bagi AirAsia pula, Ping Khoon melihat usaha pengumpulan dana menerusi terbitan saham baharu bertindak sebagai langkah interim untuk menangani isu aliran tunai dengan segera ketika pandemik ini.

 

Secara keseluruhannya, Kenanga mengekalkan penarafan ‘neutral’ ke atas sektor penerbangan Malaysia.

 

Setakat 3.31 petang, nilai saham AirAsia dan MAHB masing-masing menyusut 1 sen kepada RM1.01 dan 5 sen kepada RM6.33. - DagangNews.com