Sektor perbankan diunjur berkembang 7.3% pada tahun ini, kata TA Securities | DagangNews Skip to main content

Sektor perbankan diunjur berkembang 7.3% pada tahun ini, kata TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jan - TA Securities mengunjurkan sektor perbankan berkembang sebanyak 7.3% pada tahun ini didorong tiga faktor utama termasuk pengukuhan perbelanjaan domestik, peningkatan pelaburan hijau dan peningkatan minat pelabur asing.

 

Mereka juga menjangkakan menjangka pinjaman perniagaan akan meraih momentum positif pada 2024, mencapai sekitar 3.4% berbanding 2% pada tahun lalu.

 

Bagaimanapun, prospek pinjaman pengguna kekal teguh, disokong oleh pelaksanaan dasar gaji progresif yang akan berlaku pada Jun 2024.

 

"Pinjaman pengguna diunjur meningkat 6.4% pada 2024 dan kami meramalkan pertumbuhan pinjaman yang lebih sihat sebanyak 5.1% pada tahun ini berbanding 4.7% pada 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bank-bank Malaysia secara aktif mengambil bahagian dalam inisiatif yang menggalakkan kemampanan, tenaga boleh diperbaharui (RE) dan amalan bertanggungjawab terhadap alam sekitar (ESG).

 

Sehingga kini, bank-bank di bawah liputannya telah membantu industri secara kolektif dengan pembiayaan mampan berjumlah kira-kira RM210 bilion, atau masing-masing 10% dan 6% daripada jumlah pinjaman dan aset mereka.

 

"Ketiganya, kami menjangkakan bank mendapat manfaat daripada pulangan faedah asing berikutan pertumbuhan pendapatan sektor yang stabil, penilaian yang menarik dan hasil dividen yang menarik.

 

"Berdasarkan keadaan yang menggalakkan ini, iklim politik, yang kini lebih stabil, juga muncul sebagai pertimbangan penting bagi pelabur asing," katanya.

 

Bagaimanapun, Maybank IB menjangkakan beberapa risiko termasuk  kemerosotan dalam kualiti aset akibat kejutan luaran seperti konflik serantau yang lebih meluas di Asia Barat yang boleh mengakibatkan peningkatan ketara dalam tekanan inflasi, potensi sumbangan yang lebih lemah daripada operasi luar negara, dan peningkatan berterusan kos operasi.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor perbankan," katanya. - DagangNews.com