Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 24 Sept. - Tiga sektor utama negara iaitu perbankan, pembinaan dan hartanah dijangka paling terjejas akibat pergolakan politik negara.
CGS-CIMB Research berkata, jangkaan tersebut dinilai berdasarkan kepada kebimbangan terhadap prestasi ringgit dan pasaran saham.
"Kami percaya sektor yang paling terkesan oleh dasar domestik adalah bank, pembinaan dan hartanah.
"Sementara industri eksport seperti sarung tangan, minyak dan gas, agri, teknologi dan perkhidmatan pembuatan elektronik adalah paling tidak terjejas," jelas CGS-CIMB Research.
Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa dirinya telah mendapat sokongan kukuh dan meyakinkan dariapda Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.
Dalam sidang akhbar semalam, Anwar turut memberitahu beliau juga telah mendapat perkenan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa, namun ditangguhkan berikutan Seri Paduka mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Tambah CGS-CIMB Research, pergolakan politik turut menyebabkan indeks pasaran saham negara berada dalam risiko penurunan.
Namun, kebimbangan tersebut turut diimbangi oleh pakej rangsangan baharu berjumlah RM10 bilion yang diumumkan oleh kerajaan semalam.
Bagaimanapun, pergolakan politik itu mengheret kebimbangan perdagangan asing terhadap nilai ringgit yang lemah selain pengurangan pasaran ekuiti dalam kalangan pelabur tempatan.
Keputusan tersebut diambil susulan kebimbangan mereka terhadap risiko pendapatan.
CGS-CIMB turut mengakalkan sasaran KLCI pada 1,520 mata dengan tiga pilihan teratas iaitu Malaysian Pacific Industries Bhd., Public Bank Bhd., dan Tenaga Nasional Bhd.. - DagangNews.com