Sektor perkilangan Negeri Sembilan raih pelaburan RM11 bilion | DagangNews Skip to main content

Sektor perkilangan Negeri Sembilan raih pelaburan RM11 bilion

Sektor perkilangan

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Negeri Sembilan berjaya mencatatkan lebih RM11 bilion pelaburan dalam sektor perkilangan bagi tempoh 2015 hingga Jun 2020.

 

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri tersebut, Dr. Mohamad Rafie Ab Malek berkata, jumlah itu adalah melibatkan 191 projek di semua peringkat daerah termasuk Seremban, Tampin, Port Dickson dan Rembau.

 

"Jumlah pelaburan paling dominan disumbangkan oleh Seremban iaitu sebanyak RM8.6 bilion dengan 169 projek.

 

"Bagaimanapun, jumlah pelaburan paling rendah pula dicatatkan oleh Jempul sebanyak RM158 juta melalui dua projek," katanya ketika menjawab soalan Chew Sen Yong (PH-Lobak) dalam  Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, hari ini seperti dilapor Bernama.

 

Jawapan tersebut diberikan selepas Chew Sen Yong meminta beliau menyatakan jumlah pelaburan sejak tahun 2015 dan insentif kepada pelabur tempatan dan asing.

 

Mengulas berkaitan dengan insentif kepada pelabur, beliau berkata, kerajaan negeri mengamalkan dasar terbuka dan mesra pelabur.

 

Dasar tersebut dijalankan dengan menyediakan kemudahan infrastruktur dan insentif seperti menawarkan insentif cukai secara langsung dan tidak langsung kepada pelabur termasuklah di bawah Akta Pelaburan 1986 dan Akta Cukai Pendapatan 1967.

 

Ujarnya, insentif cukai langsung memberikan pelepasan sebahagian atau penuh pembayaran cukai pendapatan untuk tempoh tertentu.

 

Manakala insentif cukai tidak langsung pula adalah dalam bentuk pengecualian duti import, cukai jualan dan duti eksais.

 

"Kerajaan negeri juga telah memperkenalkan pelbagai insentif kepada pelabur tempatan dan asing termasuklah melalui pemberian diskaun premium pemberi milikan tanah dan pembangunan tanah sebanyak 25% kepada pemohon yang menjelaskan bayaran premium sekali gus dalam tempoh 21 hari dari tarikh menerima notis 5A dan 7G daripada pentadbir tanah," jelas beliau. - DagangNews.com