Sektor teknologi negara dijangka terus berkembang | DagangNews Skip to main content

Sektor teknologi negara dijangka terus berkembang

5G

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Prestasi sektor teknologi negara dijangka akan terus berkembang didorong oleh pertumbuhan positif industri semikonduktor global.

 

Maybank IB Research berkata, penilaian lebih baik itu turut dinilai kepada pelancaran rangkaian 5G, peningkatan komponen dan peralatan semikonduktor, pengembangan sub-sektor lain seperti Internet of Thing (Iot), kecerdasan buatan (AI) dan kenderaan elektrik (EV) serta industri 4.0.

 

"Kami telah meningkatkan penarafan saham sektor teknologi kepada 'positif' berbanding 'neutral' pada sebelum ini.

 

"Ini kerana kami yakin bahawa sektor ini akan mencatatkan pertumbuhan yang baik dipengaruhi oleh prestasi positif industri semikonduktor global.

 

"Ini harus menjadi petanda baik kepada pemasang dan penguji semikonduktor penyumberan luar (OSAT), peralatan ujian automatik (ATE), perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) dan syarikat kejuruteraan," jelas Maybank IB Research.

 

Statistik Perdagangan Semikonduktor Dunia mengunjurkan bahawa pasaran semikonduktor global akan mencatatkan peningkatan sebanyak 6.2% tahun ke tahun kepada AS$425 bilion pada 2021.

 

Manakala, Persatuan Industri Global SEMI pula menjangkakan bahawa penjualan peralatan pembuatan semikonduktor global akan melonjak sebanyak 11% tahun ke tahun kepada AS$70 bilion pada tahun 2021.

 

Ujar Maybank IB Research, unjuran menaik itu didorong oleh pelancaran rangkaian 5G di bandar-bandar utama yang dipercepatkan oleh jumlah peranti yang memiliki kemampuan 5G seperti telefon pintar dan IoT.

 

Syarikat Inari Amertron Bhd. diangkat sebagai pilihan utama Maybank IB Research yang diharapkan akan meraih keuntungan daripada rangkaian 5G secara besar-besaran selain peningkatan jualan telefon pintar premium 5G.

 

"Harga sasaran sesaham (TP) bagi syarikat Inari dinaikkan kepada RM3.40 berbanding RM2.45 pada sebelumnya.

 

"Saham Globetronics Technology Bhd. juga turut dinaik taraf kepada saranan 'beli' berbanding 'jual' pada sebelumnya kerana percaya keterjejasan syarikat berkenaan akan tamat pada tahun kewangan 2020 dan akan berkembang semula menjelang separuh pertama tahun kewangan 2021," jelas Maybank IB Research. - DagangNews.com