Sektor tenaga, teknologi antara lonjakkan KLCI pagi ini, saham HLBank pula tercorot | DagangNews Skip to main content

Sektor tenaga, teknologi antara lonjakkan KLCI pagi ini, saham HLBank pula tercorot

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Pasaran saham tempatan kembali melonjak sedikit selepas tewas kepada aktiviti pengambilan untung dalam dagangan semalam, sehingga ditutup 4.70 mata lebih rendah. 

 

Pagi ini, indeks utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI memulakan dagangan 2.98 mata kepada 1,585.17 daripada penutupan petang semalam, 1,582.19. 

 

Pergerakan menaik dagangan pada pagi ini dipacu oleh saham-saham dalam sektor tenaga, diikuti oleh teknologi, produk perindustrian, perkhidmatan kewangan serta amanah pelaburan hartanah (REIT). 

 

Secara keseluruhannya, dagangan awal pagi ini juga beraksi agak positif apabila jumlah kaunter untung iaitu 170 mengatasi hampir dua kali ganda jumlah kaunter rugi sebanyak 93. 

 

Sementara, 223 kaunter tidak berubah dan 1742 lagi tidak didagangkan.

 

Rakuten Trade Research melihat kemerosotan yang dicatatkan FBM KLCI pada penutupan lemah dua hari lalu merupakan situasi yang ‘sihat’.

 

“Berita mengenai prospek kelonggaran ke atas sektor pelancongan akan menyuntikkan lagi sentimen. Oleh itu, kami menjangkakan indeks itu akan berada pada tahap stabil pada masa akan datang memandangkan dana asing berterusan mengalir masuk.

 

“Hari ini, kami menjangkakan indeks itu didagangkan dalam julat 1,580 hingga 1,590,” jelas firma tersebut dalam satu nota kajian ringkasnya.

 

Beralih kepada prestasi saham di Bursa Malaysia, Hong Leong Bank Berhad terpaksa akur untuk memulakan dagangan di kaunter paling rugi, dengan pembukaan 10 sen lebih rendah kepada RM19.06. 

 

Ini diikuti oleh saham Sam Engineering & Equipment (M) Berhad yang juga merosot 10 sen ketika dibuka, namun melonjak kembali sebanyak 16 sen untuk berada pada nilai RM14.70 setakat 9.14 pagi. 

 

Dalam kalangan kaunter paling rancak diniagakan, saham Tanco Holdings Berhad dibuka hampir tidak berubah dengan 161,234 jumlah saham bertukar tangan setakat ini. 

 

Turut berada dalam radar pelabur adalah saham Bintai Kinden Corporation Berhad yang menokok 1.5 sen kepada 54.5 sen setakat 9.17 pagi. 

 

Semalam, Bintai Kinden mengumumkan pemeteraian kerjasama dengan Scientillence Sdn Bhd yang melibatkan perniagaan hemodialisis di Malaysia dan Asia Tenggara.

 

Baca : Bintai Kinden, Scientillence meterai kerjasama perluas perniagaan hemodialisis

 

Beralih kepada kaunter paling untung, saham OM Holdings Limited dibuka dengan lonjakan terbesar pada dagangan awal hari ini, menokok 12 sen kepada RM2.63. 

 

Ini diikuti oleh saham Kuala Lumpur Kepong Berhad, Malaysian Pacific Industries Berhad, Unisem (M) Berhad, Country View Berhad dan Maxis Berhad. - DagangNews.com