Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 April - Sektor utiliti dilihat masih berdaya tahan di sebalik situasi tidak menentu ketika ini, menurut Kenanga Research.
Firma itu mendapati, profil pendapatan juga utuh terutama menerusi pulangan aset yang dikawal selia oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), pemain industri berasaskan gas dan pendapatan daripada perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan pengeluar tenaga bebas (IPP).
"Dalam situasi mencabar ini, sektor ini merupakan pelaburan yang baik dengan pendapatan yang berdaya tahan dan pulangan hasil secara purata antara 4 hingga 7%," katanya dalam nota kajian hari ini.
Secara dasarnya, pendapatan TNB, Petronas Gas Berhad (Petgas) dan Gas Malaysia Berhad dikawal selia di bawah kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) yang memperkukuhkan hasil dividen sebanyak 4%.
Bagi IPP seperti Malakoff Corporation Berhad dan YTL Power International Berhad, pendapatannya disokong oleh PPA dan aset baharu yang membantu merapatkan jurang pendapatan kerana aset lama IPP akan tamat dalam tempoh tertentu.
Malah, Kenanga Research berkata, IPP ini juga menawarkan hasil dividen yang menarik, melebihi 6%.
"Pemain khusus bagi infrastruktur utiliti seperti Pestech International Berhad juga menawarkan pertumbuhan yang menarik di Kemboja terutama dengan kontrak bekalan elektrik landasan kereta api di rantau ini," katanya.
Selepas terkesan akibat pandemik COVID-19 pada suku kedua dan ketiga 2020 dengan kerugian RM1.13 bilion, firma itu menjangkakan pendapatan TNB akan kembali normal bagi tahun kewangan 2021.
"Bagi pemain IPP pula, mereka telah membuktikan pendapatan yang berdaya tahan ketika mengharungi pandemik COVID-19," katanya.
Kenanga Research meletakkan penarafan Overweight bagi sektor utiliti dengan TNB menjadi pilihan utama bagi suku kedua 2021 dengan mengambil kira penilaian dan pendapatan yang berdaya tahan. - DagangNews.com