Selangor tiada daya kenakan hukuman lebih berat ke atas pencemar sungai | DagangNews Skip to main content

Selangor tiada daya kenakan hukuman lebih berat ke atas pencemar sungai

Amirudin Shari

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Kerajaan Selangor mempunyai kuasa yang terhad untuk memberi hukuman kepada pesalah yang terlibat dalam aktiviti pencemaran sumber air.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, apa-apa bentuk hukuman untuk pesalah hanya terkandung di bawah kuasa kerajaan pusat melalui Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Selangor hanya mempunyai Enakmen Lembaga Pengurusan Air Selangor (LUAS) 1990. Namun, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 mempunyai bidang kuasa yang lebih besar untuk meningkatkan hukuman seperti sebatan atau penjara termasuk tindakan sita dan rampasan.

"Bahkan kuasa untuk mendakwa juga bukan di bawah kerajaan negeri, tetapi di bawah bidang kuasa Peguam Negara," katanya selepas merasmikan sesi Dialog Belanjawan Negeri Selangor hari ini.

Beliau mengulas isu berkenaan selepas mendapat makluman daripada pelbagai pihak yang mahukan hukuman lebih berat diberikan kepada pesalah alam sekitar dengan meminda undang-undang sedia ada atau menggubal undang-undang baharu.

Bagi Enakmen Lembaga Pengurusan Air Selangor (LUAS) 1990, kerajaan Selangor akan melakukan beberapa pindaan termasuk kadar denda maksimum dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Oktober depan.

"Enakmen LUAS akan dipinda dengan meningkatkan jumlah denda maksimum kepada pencemar air daripada RM500,000 kepada RM1 juta," tambah beliau lagi. 

Pada 3 September lalu, DagangNews.com melaporkan sebanyak 1,292 kawasan di sekitar Lembah Klang, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami masalah gangguan bekalan air tidak berjadual.

Menurut laporan, ganguan yang berlaku itu disebabkan oleh pencemaran sumber air mentah di Sungai Gong berpunca daripada kegagalan pengurusan sisa buangan sebuah kilang yang didapati beroperasi tanpa lesen sejak 2014.

Selain tidak mempunyai lesen, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) turut mengesahkan kilang berkenaan telah membina bangunan tanpa mendapat kebenaran MPS.

Susulan itu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang terpaksa ditutup hingga menjejaskan kira-kira lima juta penduduk di sekitar Lembah Klang. - DagangNews.com