Selgate, Dawjie bangunkan kompleks penjagaan warga emas patuh syariah pertama di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Selgate, Dawjie bangunkan kompleks penjagaan warga emas patuh syariah pertama di Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Okt - Selgate Healthcare Sdn Bhd memeterai perjanjian usaha sama Dawjie Sdn Bhd untuk membangunkan dan mengendalikan kompleks penjagaan warga emas patuh syariah pertama di Malaysia. 

 

Kompleks penjagaan warga emas tiga tingkat itu bakal dibangunkan di atas tanah seluas enam ekar di Bangi, Selangor.

 

Ia bakal menempatkan fasiliti termasuk 130 buah katil, dewan kuliah, ruang makan, bilik demensia dan bilik tetamu. Melalui kerjasama ini, Dawjie akan menyumbangkan kepakaran dari segi operasi kompleks, tenaga kerja serta modul pendidikan, manakala pentadbiran oleh Selcare Senior Living.

 

Pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) ini akan melibatkan penubuhan Special Purpose Vehicle (SPV), yang kini dikenali sebagai Selcare Senior Living, atau nama lain yang akan diputuskan selepas keputusan muktamad oleh kedua-dua pihak kelak.

 

Penggabungan ini bakal menyaksikan penerokaan bersama untuk memperluaskan perkhidmatan Selgate Healthcare dan Dawjie bagi menggalakkan kesihatan dan kesejahteraan dalam kalangan warga emas di Malaysia melalui anak syarikat mereka masing-masing iaitu Selcare Senior Living dan Pertubuhan Darul Insyirah. 

 

Dawjie Sdn Bhd merupakan organisasi yang bertanggungjawab mengendalikan, menyelidik, merancang dan membangunkan harta wakaf untuk manfaat Pertubuhan Darul Insyirah melalui Majlis Agama Islam Negeri.

 

Terdahulu, mewakili Selgate Healthcare dalam majlis menandatangani MoU itu ialah Pengarah Eksekutif, Noor Hisham Mohd Ghouth dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Muaz Omar, manakala bagi pihak Dawjie ialah Pengarahnya, Asral Widad Ahmad Asnawi.

 

 

selgate
(Dari kiri) Lembaga Pengarah SELCARE Senior Living, Datuk Ameerudeen Mohamed Noor; Asral Widad Ahmad Asnawi, Lembaga Pengarah Dawjie, Datuk Mohd Nafidz Abdul Razak; Noor Hisham Mohd Ghouth, Dr Muaz Omar dan Lembaga Pengarah SELCARE Senior Living, Mohd Fauzi Ibni Hajar ketika pemeteraian MoU antara Selgate dan Dawjie pada 19 Oktober 2022.

 

 

Noor Hisham berkata, Selgate secara keseluruhannya tidak hanya tertumpu kepada penjagaan kesihatan seperti GP dan klinik pergigian sahaja, tetapi mengambil berat tentang kebajikan warga emas.

 

"Selgate berusaha untuk terus manambah nilai kepada industri penjagaan khusus dengan menjadikan penjagaan kesihatan dan kos sara hidup yang berkualiti serta mampu milik," katanya.

 

Beliau menyifatkan kerjasama dan program yang dirancang untuk projek ini dapat memberi manfaat kerana ia menunjukkan permulaan baik dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada warga emas. - DagangNews.com