Semakan semula tarif pelabuhan pemangkin kemajuan Suria Capital Holdings | DagangNews Skip to main content

Semakan semula tarif pelabuhan pemangkin kemajuan Suria Capital Holdings

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Jun - MIDF Research memulakan liputan terhadap Suria Capital Holdings Berhad dengan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.24.

 

Firma itu percaya penilaian itu wajar berdasarkan kedudukan kumpulan itu sebagai pengendali tunggal pelabuhan utama di Sabah yang memberi manfaat sektor industri negeri.

 

Katanya, kumpulan itu juga masih menanti kelulusan daripada kerajaan negeri untuk rancangan pembangunan dan peluasan pelabuhan itu.

 

"Pemangkin utama untuk kemajuan mereka adalah semakan semula tarif pelabuhan dan difahamkan kumpulan itu telah mendapatkan kelulusan daripada kerajaan negeri secara lisan pada CY20 dan kami difahamkan ia akan dilaksanakan dalam dua fasa sebagai usaha mengurangkan impak kepada pengguna.

 

"Menurut pihak pengurusan, kami menjangkakan berlaku peningkatan sebanyak 20% untuk fasa pertama," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu juga menjangkakan, pendapatan kumpulan itu akan berkembang berdasarkan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 9.3% untuk tiga tahun akan datang.

 

Katanya, kumpulan itu dijangka menanggung kos faedah dan pelunasan yang lebih tinggi bermula FY22F dan ke hadapan akibat perbelanjaan modal besar yang dirancang untuk tahun itu yang berjumlah RM515.7 juta untuk pembesaran pelabuhan.

 

"Memandangkan projek pembangunan utama pelabuhan masih belum siap dan ada yang masih dalam peringkat perancangan, kami tidak menjangkakan sebarang sumbangan daripada projek itu," katanya.

 

Firma itu berkata, projek pembesaran pelabuhan itu sudah mengalami beberapa kelewatan sebelum ini dan tiada sebarnag jaminan bahawa ia akan siap mengikut garis waktu yang ditetapkan.

 

"Sekiranya terus berlaku kelewatan, ia mungkin memberi kesan kepada prospek pertumbuhan jangka panjang kumpulan," katanya. - DagangNews.com