Semua ahli terjejas layak keluarkan Akaun 1 KWSP sehingga RM10,000 - Zafrul | DagangNews Skip to main content

Semua ahli terjejas layak keluarkan Akaun 1 KWSP sehingga RM10,000 - Zafrul

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Kerajaan mengambil keputusan membenarkan semua ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terjejas pendapatan mengeluarkan Akaun 1 sehingga RM10,000. 

 

Sebelum ini menerusi i-Sinar yang diumumkan 6 November lalu, KWSP telah membenarkan 600,000 ahli mengeluarkan sehingga RM6, 000 dari Akaun 1.

 

Ini kemudiannya ditambahbaik apabila KWSP mengumumkan skop kelayakan diperluas kepada 2 juta ahli yang aktif yang kini boleh mengeluarkan sehingga RM9,000 atau RM60,000 dari Akaun 1, bergantung kepada terma kelayakan.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah ini membolehkan 8 juta pencarum mendapat manfaat berbanding 2 juta sebelum ini. 

 

Katanya, semua ahli yang terjejas pendapatan layak untuk memohon pengeluaran Akaun 1 ini. 

 

"Tidak kira mereka yang hilang kerja atau terkurang pendapatan tahun ini, mereka layak membuat pengeluaran tanpa mengira sama ada bekerja di sektor formal atau bekerja sendiri, aktif mencarum atau tidak.

 

"Selagi pendapatan mereka terjejas dengan ketara, mereka boleh membuat pengeluaran dari Akaun 1 simpanan KWSP ini," katanya dalam ucapan penggulungan Belanjawan 2021 di Parlimen hari ini. 

 

Tengku Zafrul berkata, mereka boleh membuat permohonan secara dalam talian atau hadir di mana-mana pejabat KWSP dan tunjukkan bukti mengenai kehilangan pekerjaan, notis cuti tanpa gaji, potongan gaji, elaun atau OT mahupun pengurangan pendapatan jika bekerja sendiri.

 

Beliau berkata, keseluruhan pengeluaran ini akan melibatkan RM70 bilion. 

 

Menjelaskan mengenai langkah-langkah yang akan dilaksanakan kerajaan bagi menjamin simpanan pencarum, beliau berkata, KWSP setakat ini mempunyai aset di bawah pengurusan (AUM) berjumlah RM960 bilion. 

 

"Kita telah membuat senario analisis senstiviti selama seminggu, di mana kita telah mengkaji secara terperinci dan daripada analisis kita (setelah berbincang dengan KWSP), ia tidak akan menjejaskan dividen KWSP.

 

"Tetapi, langkah ini dapat menolong lebih ramai mereka yang benar-benar memerlukan," katanya. 

 

Malah, Tengku Zafrul juga menjelaskan, setiap tahun dana yang masuk ke KWSP adalah RM80 bilion dan bukannya RM20 atau RM30 bilion, bagi menjawab pertanyaan seorang Ahli Parlimen yang membangkitkan isu berkenaan.

 

Dalam penggulungan Belanjawan 2021 petang ini, Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 (Belanjawan 2021) diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen melalui undian.

 

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan keputusan itu kira-kira pukul 3.30 petang. - DagangNews.com