Semua negeri catat penurunan kes kategori 3-5 setelah 40% populasi dewasa divaksin | DagangNews Skip to main content

Semua negeri catat penurunan kes kategori 3-5 setelah 40% populasi dewasa divaksin

Photo by <a href="https://unsplash.com/@matnapo?utm_source=unsplash&utm_medium=referral&utm_content=creditCopyText">Mat Napo</a> on <a href="https://unsplash.com/s/photos/vaccination?utm_source=unsplash&utm_medium=referral&utm_content=creditCopyText">Unsplash</a>

PUTRAJAYA 15 Ogos - Malaysia sudah mula melihat perkembangan awal yang positif daripada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di beberapa buah negeri iaitu di Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan dan negeri-negeri Lembah Klang (Selangor, WP Kuala Lumpur dan Putrajaya).

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semalam buat pertama kalinya, tidak ada kes jangkitan baharu COVID-19 yang dilaporkan di WP Labuan.

 

Beliau berkata, data yang dikumpul oleh KKM menunjukkan bahawa setakat ini, kesemua negeri yang dinyatakan telah mula menunjukkan penurunan bilangan kes bagi kategori 3 hingga 5 apabila liputan dos lengkap vaksin COVID-19 bagi populasi dewasa ((18 tahun dan ke atas) telah melebihi 40 peratus.

 

Pada masa yang sama ujar beliau, data daripada Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) bagi Hospital menunjukkan situasi di Jabatan Kecemasan di Lembah Klang juga bertambah baik.

 

Contohnya purata pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan untuk ditempatkan ke wad pesakit bagi hospital KKM di negeri-negeri Lembah Klang telah menurun. Pada 31 Julai 2021, purata sehari pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan adalah 909 orang.

 

''Alhamdulillah, hasil perancangan rapi Kerajaan dan pelaksanaan strategi oleh KKM serta kesan vaksinasi, purata sehari pesakit yang menunggu telah menurun kepada
239 orang pada 13 Ogos 2021.

 

''Saya amat berharap agar trend penurunan ini akan berterusan dan dapat mengurangkan beban kes COVID-19 yang serius serta kemasukan pesakit ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Walaubagaimanapun, kapasiti pesakit di ICU masih lagi penuh memandangkan rawatan pesakit di ICU adalah jauh lebih rumit dan memakan tempoh lebih panjang berbanding di wad biasa,'' kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Muhyiddin berkata, Menteri Penyelaras PPN, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz telah menjelaskan bahawa matlamat utama Fasa 1 PPN ialah untuk menurunkan bilangan kes harian, meningkatkan kadar vaksinasi, menggalakkan setiap negeri untuk beralih ke Fasa 2 dan paling penting untuk menurunkan kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU).

 

Kerajaan ujar beliau, melalui Greater Klang Valley Special Task Force (GKVSTF) dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) sememangnya sedang bertungkus-lumus untuk meredakan situasi di Lembah Klang.

 

''Alhamdulillah, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media pada 13 Ogos 2021 menyatakan bahawa Operasi Lonjakan Kapasiti (Operation Surge Capacity) di Lembah Klang sejak 26 Julai lalu telah menyaksikan kadar kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital bagi semua kumpulan umur mula menunjukkan penurunan,'' kata Perdana Menteri.



Oleh itu ujar beliau lagi, segeralah mendaftar untuk dapatkan vaksinasi, termasuk bagi ibu hamil dan remaja dalam kumpulan umur yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksinasi. Majikan juga perlu mainkan peranan untuk memastikan pekerja mereka termasuk pekerja asing mendapat vaksinasi.

 

''Seperti saya nyatakan sebelum ini, Kerajaan menerusi Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) sentiasa mempertimbangkan kemudahan-kemudahan lain dengan memberi penekanan terhadap tiga aspek utama iaitu kesihatan dan keselamatan rakyat; ekonomi rakyat dan kelangsungan perniagaan; serta kesejahteraan rakyat,'' katanya.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan faham bahawa banyak aktiviti ekonomi yang tergendala dan pelbagai kemahuan tidak dapat dilaksanakan akibat pandemik ini termasuklah membeli barangan rumah selain keperluan asas dan memotong rambut serta pelbagai lagi kemahuan kendiri.

 

''Kerajaan sedar, semakin lama perkara ini dihadkan, semakin besar risikonya terhadap kesihatan mental dan fizikal rakyat. Kerajaan juga melihat bahawa amat penting untuk sektor ekonomi kembali dibuka secara berperingkat kerana jika tidak dimulakan sekarang, kesannya terutama terhadap pengusaha perniagaan dan pekerja-pekerja mereka akan semakin parah.

 

''Penting untuk dijelaskan, kemudahan terbaharu yang saya umumkan ini akan terpakai ke atas semua fasa PPN dengan syarat, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di negeri berkenaan mestilah telah mencapai sekurang-kurangnya 50% dan individuindividu yang ingin memanfaatkan kemudahan ini juga mestilah telah menerima
vaksinasi lengkap.

 

''Sebagai contoh, sehingga 14 Ogos 2021, kadar vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa (18 tahun ke atas) di Lembah Klang telah mencapai 64.7 peratus. Maka, individu yang telah lengkap vaksinasi di Lembah Klang boleh memanfaatkan kemudahan-kemudahan ini apabila kemudahan-kemudahan ini mula berkuatkuasa. Perincian garis panduan bagi kemudahan-kemudahan yang saya umumkan ini akan dikeluarkan oleh MKN dalam waktu terdekat,'' kata Perdana Menteri. - DagangNews.com