Semua pekerja barisan hadapan Digi Store dan peruncitan telah divaksin sepenuhnya | DagangNews Skip to main content

Semua pekerja barisan hadapan Digi Store dan peruncitan telah divaksin sepenuhnya

 

KUALA LUMPUR 20 Okt – Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) mengumumkan semua pekerja barisan hadapannya yang bekerja di Digi Store seluruh negara, termasuklah pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan, telah lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19.

 

Ketua Pegawai Jualan Digi, Cheng Weng Hong berkata, keutamaan pihaknya adalah memastikan penyediaan persekitaran yang selamat untuk menyantuni pelanggan, di samping menitikberatkan kesejahteraan para pekerja selari dengan komitmen Digi dalam menjalankan perniagaan yang bertanggungjawab.

 

‘’Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pelanggan atas sokongan berterusan yang diberikan, serta pekerja barisan hadapan kami atas dedikasi mereka dalam memenuhi keperluan sambungan pelanggan sepanjang pandemik ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

Selain daripada telah divaksin sepenuhnya, semua pekerja barisan hadapan Digi menjalani ujian kendiri RTK-Antigen COVID-19 setiap dua minggu sebagai langkah pencegahan.

 

Antara langkah keselamatan wajib lain yang dilaksanakan termasuklah memakai pelitup muka pada setiap masa, memeriksa suhu badan dan mensanitasi tangan, mendaftar masuk di aplikasi MySejahtera serta hanya membenarkan pelanggan yang telah divaksin sepenuhnya dengan risiko rendah atau status hubungan kasual untuk memasuki kedai.

 

Penjarakan fizikal dilaksanakan dengan ketat dan papan pelindung akrilik dipasang di setiap ruang konsultasi.

 

Semua Digi Store juga dilengkapi dengan penapis udara HEPA untuk menjaga kualiti udara yang sihat di dalam premis, semua permukaan pula dibersihkan setiap jam, manakala sanitasi menyeluruh dengan semburan pembasmi kuman dilakukan setiap dua minggu.

 

Membuka semua saluran perkhidmatan untuk memenuhi keperluan pelanggan

Selain daripada kedai fizikal, Digi turut memastikan semua saluran perkhidmatannya tersedia, termasuklah menambah baik saluran digital bagi memudahkan pelanggan melakukan transaksi dalam talian, sekaligus menggalakkan lebih ramai pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan layan diri dari keselamatan dan keselesaan rumah mereka.

 

  • Platform digital layan diri iaitu aplikasi MyDigi dan Digi Store Online tersedia setiap masa. Pelanggan boleh melakukan pelbagai transaksi penting secara digital seperti pembayaran bil, tambah nilai prabayar, tambah nilai internet, pembelian peranti dan aksesori serta banyak lagi.
     
  • Talian khidmat pelanggan, perbualan langsung dan platform media sosial beroperasi setiap masa untuk menjawab pertanyaan pelanggan.

 

Digi komited untuk memastikan rakyat Malaysia kekal berhubung terhadap pelbagai perkara penting dengan cara yang selamat dan bertanggungjawab, di samping menyokong usaha negara dalam menggalakkan rakyat Malaysia divaksin serta mendorong pemulihan masyarakat. – DagangNews.com