Semua pelabuhan di Sarawak kini milik Kerajaan Negeri Sarawak - Timbalan Premier Uggah | DagangNews Skip to main content

Semua pelabuhan di Sarawak kini milik Kerajaan Negeri Sarawak - Timbalan Premier Uggah

KUCHING 18 Julai - Semua pelabuhan di Sarawak kini milik kerajaan Sarawak, kata Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

 

Beliau dalam satu kenyataan berkata, ia susulan Pengisytiharan Kawasan di Daerah Bintulu sebagai Rang Undang-undang Pelabuhan Persekutuan (Pemansuhan) 2024 dan Rang Undang-undang (Pembubaran) Lembaga Pelabuhan Bintulu 2024, bertujuan memansuhkan Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981 dan membubarkan Lembaga Pelabuhan Bintulu di Dewan Rakyat pada 17 Julai 2024.

 

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas komitmennya dalam merealisasikan perkara itu.

 

"Ini adalah peristiwa paling bersejarah dan adalah sebab untuk diraikan," katanya.

 

sarawak
Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

 

Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak (MIPD) berkata, jawatankuasa khas yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Pengangkutan Persekutuan, Anthony Loke dan Timbalan Premier Sarawak telah ditubuhkan bagi menyelia dan memudahkan proses pemindahan status Pelabuhan Bintulu.

 

Menurutnya, jawatankuasa itu akan memastikan operasi Pelabuhan Bintulu tidak terjejas atau terganggu dengan proses pertukaran status.

 

“Jawatankuasa khas ini akan bertanggungjawab memantau dan memudahkan pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) ini.

 

“Ia akan dibantu oleh dua jawatankuasa lain iaitu jawatankuasa kerja; dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, dan jawatankuasa teknikal; dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Bahagian Maritim Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak,” katanya lagi.

 

Beliau berkata, Sarawak juga telah membentuk Lembaga Pelabuhan Bintulu melalui Ordinan Lembaga Pelabuhan 1961.

 

“Saya yakin dengan kerjasama, sokongan dan pengalaman semua pihak yang berkenaan, kami akan mengambil alih pelabuhan itu menjelang akhir tahun ini,” katanya. - DagangNews.com