Seng Fong terima kelulusan SC untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Seng Fong terima kelulusan SC untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 April - Seng Fong Holdings Berhad mengumumkan bahawa mereka sudah menerima kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Berdasarkan kepada draf awal prospektus tawaran permulaan awam (IPO) di laman web SC, penyenaraian itu melibatkan IPO sehingga 160.87 juta saham biasa merangkumi 90.81 juta saham terbitan awam dan tawaran untuk jualan sehingga 70.06 juta saham.

 

Saham IPO itu terbahagi kepada tawaran institusi sehingga 118.68 juta saham mewakili 22.9% daripada saham terbitan dan, tawaran runcit sehingga 42.20 juta saham mewakili 8.1% daripada saham terbitan yang diperbesarkan.

 

Sejumlah 64.8 juta saham IPO mewakili 12.5% adalah untuk pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan 53.8 juta saham mewakili 10.4% adalah untuk institusi serta pelabur terpilih.

 

Tawaran runcit pula merangkumi 12.97 juta saham atau 2.5% untuk pelabur bumiputera, 2.5% lagi juga disediakan untuk pelabur bukan bumiputera dan 16.25 juta saham atau 3.1% adalah untuk pengarah dan kakitangan yang berkelayakan.

 

Pengarah Urusan Seng Fong, Er Hock Lai berkata, kami ingin merakamkan penghargaan kepada SC kerana meluluskan IPO kumpulan itu kerana penyenaraian itu akan meningkatkan reputasi serta membantu mengembangkan perniagaan secara global selain mendapatkan akses kepada pasaran modal bagi meningkatkan dana untuk terus berkembang.

 

"Penyenaraian itu juga membolehkan kami mengumpul dana yang diperlukan untuk pemasangan sistem biojisim yang akan menyediakan sumber bahan api untuk operasi pemprosesan kami dan pada masa yang sama mencapai penjimatan kos dengan mengurangkan kos bahan api keseluruhan. 

 

seng
Er Hock Lai

 

"Kami juga memasang dua unit sistem solar untuk membantu kami mengurangkan kos elektrik serta membantu kami mencapai matlamat kemampanan kami untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sebahagian daripada dana yang diperoleh daripada penyenaraian itu akan digunakan sebagai modal kerja dan peningkatan kapasiti pengeluaran dan bayaran pinjaman bank termasuk pinjaman berjangka untuk pemasangan sistem solar.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Investment Bank Berhad, Lee Jim Leng mengucapkan tahniah kepada Seng Fong kerana berjaya mendapatkan kelulusan daripada SC dan berharap untuk bekerjasama dengan pengurusannya dalam menyediakan syarikat itu bagi tujuan penyenaraian di Pasaran Utama.

 

"Seng Fong ialah perniagaan yang kukuh sejak 1986 dalam industri dengan permintaan terus berkembang dengan stabil.  Kami yakin syarikat ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelabur," katanya. - DagangNews.com