Seni Jaya cadang laksana penempatan swasta berjumlah RM33.98 juta | DagangNews Skip to main content

Seni Jaya cadang laksana penempatan swasta berjumlah RM33.98 juta

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Penyedia perkhidmatan pengiklanan luar, Seni Jaya Corp Bhd mengumumkan cadangan pelaksanaan penempatan swasta untuk mengumpul sehingga RM33.98 juta serta pelan terbitan bonus. 

 

Menurut pemfailan bursa pada Rabu, cadangan itu melibatkan terbitan sehingga 14.56 juta saham biasa baharu tidak melebihi 20% daripada jumlah keseluruhan terbitan saham Seni Jaya pada harga terbitan yang akan ditentukan kemudian.

 

Katanya, harga terbitan berkenaan akan berdasarkan diskaun tidak lebih daripada 10% daripada jumlah purata wajaran harga pasaran saham Seni Jaya untuk lima hari pasaran (5D-VWAMP) sehingga dan termasuk hari dagangan terakhir sejurus sebelum tarikh penetapan harga.

 

"Pada harga indikatif RM2.3336 sesaham, cadangan itu dijangka meningkatkan hasil kasar sehingga RM33.98 juta di bawah senario maksimum, yang menganggap semua waran dilaksanakan sebelum pelaksanaan. 

 

"Daripada jumlah hasil sebanyak RM33.98 juta, RM24 juta akan diperuntukkan untuk projek pengiklanan Seni Jaya yang dijangka meningkatkan lagi perkhidmatan pengiklanan sedia ada," katanya di sini hari ini.

 

Tambahnya, RM7.2 juta lagi akan digunakan untuk pengembangan kumpulan ke dalam kategori perniagaan baharu iaitu menggunakan media pengiklanan LED. 

 

"Baki RM1.88 juta akan digunakan untuk keperluan modal kerja kumpulan untuk operasi harian seperti bayaran sewa tapak papan iklan dan pembayaran perbelanjaan operasi lain," katanya.

 

Kumpulan itu turut mencadangkan untuk melaksanakan terbitan bonus sehingga 262.08 juta saham biasa baharu berdasarkan tiga saham bonus bagi satu saham Seni Jaya yang dipegang pada tarikh kelayakan yang akan ditentukan dan diumumkan kemudian.  -DagangNews.com