Seni Jaya, Newswav jalin perkongsian strategik tawar kepelbagaian kandungan papan iklan digital | DagangNews Skip to main content

Seni Jaya, Newswav jalin perkongsian strategik tawar kepelbagaian kandungan papan iklan digital

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Jun - Seni Jaya Corporation Bhd menjalinkan perkongsian strategik bersama Newswav bagi mempelbagaikan tawaran kandungan papan iklan digitalnya.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, kebiasaanya papan iklan digital hanya menawarkan peluang penglibatan terhad untuk perngiklan dan audiennya.

 

Bagaimanapun, menerusi perkongsian itu, Seni Jaya dan Newswav akan memperkenalkan rumusan pengiklanan digital luar rumah (DOOH) dengan kandungannya tertumpu kepada penyampaian berita serta kandungan masa nyata bagi meningkatkan kredibiliti serta ketulenan jenama.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Seni Jaya, Jeff Cheah See Heong berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan Newswav bagi membawa produk berkualiti ke dalam pasaran.

 

Beliau berkata, penyepaduan kandungan Newswav pada papan iklan digital itu menandakan satu langkah ke hadapan dalam evolusi pengiklanan media DOOH, menawarkan alat yang berkuasa untuk jenama berhubung dengan audien dengan cara yang berkesan.

 

dooh

 

"Daripada kemas kini berita terkini kepada ciri gaya hidup yang menjadi sohor kini, kami kini boleh menyampaikan mesej tepat pada masanya selain menyasarkan peningkatan keupayaan untuk membantu jenama mencipta kesan yang berkekalan," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Newswav, Janice Chin berkata, rangkaian luas pihaknya terdiri daripada lebih 280 penerbit tempatan dan antarabangsa membolehkan mereka menyampaikan pelbagai kandungan secara terus ke papan iklan digital Seni Jaya di seluruh negara.

 

"Inisiatif ini bertujuan untuk berkongsi berita terkini tepat pada masanya dan kandungan yang menarik, termasuk perniagaan & kewangan, perjalanan, gaya hidup, sukan dan juga berita tergempar, dengan penonton di jalan raya, meningkatkan perjalanan harian mereka dengan maklumat terkini," katanya. - DagangNews.com