Seni Jaya raih kontrak lima tahun pengiklanan luar LRT Laluan Ampang | DagangNews Skip to main content

Seni Jaya raih kontrak lima tahun pengiklanan luar LRT Laluan Ampang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 April - Seni Jaya Corporation Berhad menerusi Seni Jaya Sdn. Bhd. memenangi anugerah daripada Prasarana Malaysia Berhad bagi pengiklanan luar di LRT Laluan Ampang mulai 1 Julai 2023 selama lima tahun, dengan kemungkinan lanjutan lima tahun lagi.

 

Kumpulan itu menerima surat anugerah pada 12 April daripada Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE) untuk melaksanakan jualan, pemasaran dan sokongan perniagaan untuk pengiklanan luaran LRT Laluan Ampang.

 

"Kumpulan itu perlu menyediakan semua perkhidmatan, tenaga kerja, pengetahuan, pengalaman dan pelaksanaan yang diperlukan untuk mempromosikan pengiklanan luar (OOH) di sepanjang Laluan Ampang (Jajaran rel Ampang/Sentul ke Seri Petaling sehingga Putra Heights) aset Prasarana selain melaksanakan jualan, pemasaran dan sokongan perniagaan untuk PRIDE," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Walaupun tidak mendedahkan nilai anugerah itu, kumpulan berkata, LOA dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan, pendapatan sesaham dan aset bersih sesaham. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Seni Jaya, Jeff Cheah berkata, pihaknya sangat teruja untuk mengumumkan bahawa mereka telah dianugerahkan kontrak ini oleh PRIDE dan tidak sabar untuk mengusahakan perkongsian strategik itu bagi menyampaikan penyelesaian pengiklanan yang inovatif dan berkesan untuk Laluan LRT Ampang.

 

“Kontak daripada PRIDE itu membolehkan kami menembusi lokasi baharu, mempercepatkan matlamat pengembangan geografi kami dan mengukuhkan lagi kedudukan kami dalam industri pengiklanan.

 

"Kami merancang untuk memperkenalkan format pengiklanan luar rumah yang baharu dan menarik kepada lebih ramai pelanggan dan membawa nilai terbesar kepada mereka,” katanya. - DagangNews.com