Seorang kakitangan di ibu pejabat Alliance Bank positif COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Seorang kakitangan di ibu pejabat Alliance Bank positif COVID-19

COVID-19

Oleh MUHAMMAD ARIF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Alliance Bank Malaysia Bhd. (Alliance Bank) memaklumkan seorang kakitangannya yang berkhidmat di ibu pejabat Alliance Bank bertempat di Menara Multi-Purpose @ CapSquare, 8, Jalan Munshi Abdullah 
telah disahkan positif COVID-19 selepas pulang dari Sabah pada 27 September lalu.

Jelas Alliance Bank, kakitangannya itu merupakan seorang pekerja yang tidak menjalankan tugas secara bersemuka atau berurusan dengan para pelanggan.

"Kakitangan yang dijangkiti itu secara fizikalnya tidak hadir bekerja sejak 12 September 2020 sebelum membuat perjalanan ke Sabah.

"Pekerja ini juga tidak mempunyai sebarang kontak rapat secara fizikal dengan mana-mana pekerja lain di pejabat sejak tempoh berkenaan.

"Pekerja tersebut juga kini sedang menjalani rawatan di hospital kerajaan yang dilantik," kata Alliance Bank dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Alliance Bank lagi, pihaknya akan terus mematuhi kesemua langkah keselamatan pencegahan seiring dengan panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. - DagangNews.com