Serba Dinamik, Boustead antara kaunter paling aktif | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik, Boustead antara kaunter paling aktif

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 28 Jun - Serba Dinamik Holdings Bhd. muncul antara kaunter paling aktif diniagakan pagi ini meskipun harga sahamnya jatuh di bawah paras 40 sen. 

 

Apabila pasaran dibuka, saham syarikat perkhidmatan minyak dan gas serta kejuruteraan ini susut 6.1 peratus kepada 38.5 sen. 

 

Setakat 9.34 pagi, saham Serba Dinamik susut 15.85 peratus kepada 34.5 sen sesaham.

 

Pada Jumaat, Serba Dinamik mengumumkan lima pengarah bebas bukan eksekutifnya meletakkan jawatan daripada lembaga pengarah yang menyaksikan sahamnya susut 23 peratus ke paras serendah 40 sen sesaham.

 

Mereka ialah ialah Rozilawati Basir, Sharifah Irina Syed Ahmad Radzi, Tengku Datuk Seri Hasmuddin Tengku Othman, Hasman Yusri Yusoff and Masleena Zaid.

 

Empat daripada mereka meletakkan jawatan atas alasan tidak sependapat dan tidak bersetuju dengan keputusan Serba Dinamik yang mengambil tindakan guaman ke atas KPMG manakala Masleena, yang baru dilantik ke dalam lembaga pengarah itu memberi alasan 'komitmen peribadi'.

 

Bagaimanapun, Pengerusi Lembaga Pengarah Serba Dinamik, Datuk Ilyas Mohamed menyifatkan tindakan mereka sebagai sesuatu yang 'sudah dijangka' dan syarikat itu sudah mengenal pasti tiga nama individu yang berkelayakan bagi mengisi jawatan tersebut.

 

Turut menyertai kaunter paling aktif pagi ini, KPower Berhad, syarikat yang dikaitkan dengan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik, Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah. 

 

Saham KPower susut 12.75 peratus kepada 65 sen sesaham. Difahamkan beliau memiliki pegangan 32.36% syarikat ini. 

 

Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) yang mana beliau turut memiliki 36.8 peratus juga susut 11.02 peratus kepada 52.5 sen sesaham. 

 

Turut mencuri tumpuan pagi ini, saham Boustead Holdings Bhd. yang dilaporkan mahu melupuskan pegangan dalam Affin Bank Bhd. ekoran berdepan beban hutang sejumlah RM7.5 bilion. 

 

Saham Boustead susut 7.89 peratus kepada 70 sen pagi ini berbanding penutupan Jumaat, 76 sen sesaham. - DagangNews.com