Serba Dinamik dapat 5 kontrak termasuk dari Petronas LNG Complex  | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik dapat 5 kontrak termasuk dari Petronas LNG Complex 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 9 Mac - Serba Dinamik Holdings Berhad (SDHB) dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini memberitahu bahawa syarikat itu berjaya meraih lima kontrak menerusi anak syarikat milik penuhnya yang berbeza. 

 

Jelasnya, empat daripada kontrak itu mendatangkan nilai terkumpul sehingga AS$99.6 juta atau RM408.8 juta - berdasarkan kadar pertukaran mata wang AS$1:RM4.1025. 

 

Kontrak pertama melibatkan anak syarikat milik penuhnya, SDIT International Ltd yang memperoleh satu kontrak maklumat, komunikasi dan teknologi (ICT) dari Captive Technology Solutions Pvt Limited di India, bermula 5 Februari 2021 hingga 4 Februari 2028.

 

SDHB menerusi PT Serba Dinamik Indonesia pula meraih kontrak melibatkan operasi dan penyelenggaraan (O&M) dari PT Pilar Bahtera Energi di Indonesia bermula 15 Februari 2021 hingga 14 Februari 2036. 

 

Dalam pada itu, SDHB memberitahu, anak syarikat milik penuhnya, Serba2C India Private Limited pula memperoleh dua kontrak melibatkan segmen ICT dari Analog and Digital Labs India Private Limited di negara berkenaan.

 

Bagaimanapun, kontrak kelima yang diraih Serba Dinamik Sdn. Bhd. dari anak syarikat Petronas LNG Complex, Malaysia LNG Sdn. Bhd. tidak mempunyai nilai yang khusus.

 

“Kontrak itu tidak mempunyai nilai khusus kerana ia berdasarkan ‘call-out’ di mana pesanan kerja-kerja akan diberikan mengikut budi bicara pelanggan berdasarkan jadual dan kadar aktiviti mereka sepanjang tempoh kontrak masing-masing,” jelas SDHB.

 

Kontrak berkenaan melibatkan segmen O&M di Malaysia bermula 19 Februari 2021 sehingga 30 September 2022.

 

Tambah SDHB, kontrak-kontrak yang diperoleh itu tidak akan menjejaskan terbitan saham modal dan kepentingan oleh pemegang saham utama syarikat. 

 

Dalam masa sama, kontrak-kontrak itu dijangka tidak mendatangkan kesan ke atas aset bersihnya serta kumpulan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021. 

 

Sebaliknya, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan kumpulan SDHB bagi tempoh kewangan sama, ujar SDHB.

 

Setakat 3.17 petang, nilai saham SDHB menyusut 2 sen kepada RM1.80 daripada paras yang ditutup petang semalam, RM1.82. - DagangNews.com