Serba Dinamik kemuka rayuan batal penyahsenaraian di Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik kemuka rayuan batal penyahsenaraian di Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Serba Dinamik Holdings Berhad mengemukakan rayuan kepada Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities) untuk membatalkan sekuriti syarikat daripada dinyahsenarai di bursa tempatan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu berkata, ini adalah disebabkan syarikat itu diklasifikasikan sebagai penerbit tersenarai terjejas di bawah Nota Amalan 17 (PN17) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities pada 16 Ogos 2023.

 

Serba Dinamik berkata, ia mungkin dinyahsenarai daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 28 Ogos, selepas Bursa Securities memutuskan untuk menolak permohonan lanjutan masa bagi mengemukakan pelan penyusunan semula mereka melainkan rayuan terhadap penyahsenaraian itu dihantar kepada Bursa Securities pada atau sebelum 23 Ogos 2023.

 

Syarikat itu dimasukkan ke dalam status PN17 pada 6 Januari 2022 dan dagangan sekuritinya di Bursa Malaysia telah digantung sejak Disember 2022 kerana gagal menyerahkan laporan tahunan 2022, lapor Bernama.

 

Sekiranya dinyahsenarai, syarikat itu akan terus wujud tetapi sebagai entiti tidak tersenarai. 

 

Syarikat masih boleh meneruskan operasi dan perniagaannya dan meneruskan penstrukturan semula korporatnya dan para pemegang sahamnya masih boleh diberi ganjaran oleh prestasi syarikat.

 

Bagaimanapun, pemegang saham akan memegang saham yang tidak lagi disebut harga dan didagangkan di Bursa Securities.- DagangNews.com