Serba Dinamik, KPower, SCIB akhiri dagangan paling aktif minggu ini | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik, KPower, SCIB akhiri dagangan paling aktif minggu ini

 

 

KUALA LUMPUR 2 Julai - Pasaran tempatan mengakhiri dagangan minggu ini dengan ditutup rendah ekoran kebimbangan pelabur terhadap pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur. 

 

Petang ini, indeks utama FBM KLCI susut 0.88 mata kepada 1,533.35 mata 5.5 bilion saham diniagakan bernilai RM2.88 bilion.

 

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi untung pada 529 berbanding 406 manakala 456 kaunter tidak berubah.

 

Bagi kaunter-kaunter aktif pula, Serba Dinamik Holdings Bhd. masih mendahului carta dengan harga sahamnya ditutup 1.32% lebih tinggi kepada 38.5 sen dengan 542.68 juta saham diniagakan menjadikan nilai pasaran syarikat berjumlah RM1.22 bilion.

 

Turut aktif, ialah Sarawak Consolidated Industries Bhd. (SCIB) menokok 8% kepada 81 sen manakala KPower Bhd. naik 1.66% kepada 99 sen. 

 

Ketiga-tiga syarikat ini dikaitkan dengan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Dr Mohd. Abdul Karim Abdullah yang turut memiliki pegangan dalam KPower dan SCIB.

 

Selain itu, turut aktif diniagakan Dagang Nexchange Bhd., yang naik 1.39% kepada 73 sen sesaham diikuti Focus Dynamics Group Bhd. yang menokok 11.11% kepada 5 sen dalam penutupan petang ini. 

 

Sementara itu, saham-saham berkaitan teknologi dan perindustrian mendahului kaunter yang ditutup tinggi petang ini didahului Genetec Technology Bhd. menokok 29.94% kepada RM13.02.

 

Harga saham Kumpulan H&L High-Tech Bhd., naik 29.66% kepada RM3.06 sesaham dan Kobay Technology Bhd. pula menokok 20.92% kepada RM3.41 dalam penutupan petang ini.

 

Bagi kaunter yang mencatat kerugian pula, antaranya, Malaysian Pacific Industries Bhd., susut 0.91% kepada RM39.10 diikuti OM Holdings Ltd. susut 5.52% kepada RM2.74. - DagangNews.com