Serba Dinamik paling 'disukai' pelabur, data KDNK jadi pemangkin KLCI  | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik paling 'disukai' pelabur, data KDNK jadi pemangkin KLCI 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Pengumuman prestasi ekonomi negara bagi suku kedua dilihat 'mengangkat' sedikit pergerakan pasaran untuk berakhir positif minggu ini. 

 

Dengan berkembang pada 16.1%, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia itu melepasi unjuran penganalisis yang mengunjurkan pertumbuhan sekitar 13 hingga 15%. 

 

Bagaimanapun, Bank Negara Malaysia (BNM) menyemak semula KDNK lebih rendah antara 3 hingga 4% berbanding 6 hingga 7.5% sebelum ini. 

 

Petang ini, indeks utama FBM KLCI ditutup pada 1,505.11 mata setelah menokok 3.14 mata atau 0.12%.

 

Keseluruhan pasaran petang ini bagaimanapun negatif dengan 578 kaunter rugi mengatasi untung pada 373 dengan 458 tidak berubah dan 806 tidak diniagakan. Jumlah dagangan hari ini sebanyak 3.47 bilion bernilai RM2.1 bilion.

 

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, prestasi bursa tempatan hari ini mengatasi kebanyakan pasaran Asia yang berakhir negatif berikutan prestasi suku kedua yang menyakinkan.

 

"Dalam kalangan indeks utama, Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) yang mendahului kaunter untung, secara tidak langsung menjadikan indeks perladangan Bursa Malaysia merekodkan kenaikan terbesar berbanding sektor lain iaitu 1.5%," katanya kepada DagangNews.com. 

 

KLK mengakhiri dagangan pada RM20.18 setelah menokok RM1.04 dengan 511,000 saham diniagakan.

 

Turut mendahului kaunter untung ialah Saham Genetech Technology Bhd. juga ditutup tinggi pada RM27.26 setelah menokok 76 sen diikuti SAM Engineering & Equipment (M) Bhd. menokok 38 sen kepada RM14.30.

 

Sebaliknya, saham Carlsberg Brewery Malaysia Bhd. mendahului kaunter rugi susut 18 sen kepada RM21.28 diikuti Bintulu Port Holdings Bhd. susut 17 sen kepada RM4.18.

 

Dalam kalangan kaunter aktif, saham Serba Dinamik Holdings Bhd. paling rancak diniagakan sepanjang hari ini setelah ia memperoleh 15 kontrak operasi dan penyelenggaraan (O&M) serta kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) menerusi anak syarikat di Malaysia dan Indonesia.

 

Dengan 173.7 juta saham bertukar tangan pada harga 43.5 sen setelah menokok 1.5 sen, ia menjadikan nilai pasaran syarikat pada RM1.6 bilion. 

 

Turut berakhir di kaunter aktif termasuklah saham KNM Group Bhd. menokok 1 sen kepada 21 sen diikuti Avillion Bhd. menokok 4.5 sen kepada 19 sen.

 

Mengulas mengenai pasaran pada minggu hadapan, Adam berkata, bursa tempatan akan terus dipengaruhi kadar jangkitan yang tinggi sekali gus menjejaskan sentimen pelabur. 

 

Katanya, KLCI diunjur bergerak dalam julat antara 1,495 hingga 1,515 minggu hadapan berikutan kurangnya pemangkin yang boleh merangsang pasaran.

 

"Bagaimanapun, musim laporan kewangan ketika ini dilihat akan memberi sedikit lonjakan sekiranya prestasi kewangan adalah lebih baik berbanding jangkaan," jelasnya. 

 

Mengenai pasaran kewangan pula, ringgit petang ini ditutup pada RM4.2360/2390 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) lebih rendah berbanding penutupan semalam, RM4.2300/2330 di sebalik pengumuman data KDNK tersebut.

 

Ini berikutan kenyataan Presiden Joe Biden yang menggesa OPEC dan sekutunya supaya meningkatkan pengeluaran dengan cepat bagi menangani kenaikan harga gasolin.

 

Menurut Adam, situasi ini secara tidak langsung menjejaskan sentimen pasaran dan harga minyak mentah di tengah-tengah pasaran yang mengalami lebihan bekalan.

 

"Dengan mengambil kira sentimen pasaran minyak yang kurang memberangsangkan dan akan menjejaskan ringgit, kami menjangkakan mata wang ini akan diniagakan pada julat antara RM4.23 hingga RM4.23 berbanding dolar AS pada minggu depan," jelas beliau. - DagangNews.com