Serba Dinamik peroleh kontrak luar negara bernilai AS$114.3 juta | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik peroleh kontrak luar negara bernilai AS$114.3 juta

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Serba Dinamik Holdings Bhd. (SDHB) menerusi anak syarikatnya memperoleh kontrak bernilai AS$114.3 juta bagi menjalankan projek di luar negara. 

 

Kontrak ini melibatkan projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pemasangan (EPCC), operasi dan penyelenggaraan (O&M) serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). 

 

SDHB dalam makluman kepada Bursa Malaysia memberitahu, selain kontrak di Indonesia, projek di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Republik Guinea dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan SDHB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020. 

 

Menurut SDHB, salah satu anak syarikatnya juga memperoleh 4 kontrak O&M di Malaysia tetapi tiada nilai spesifik disertakan. 

 

"Ini kerana kontrak ini adalah berdasarkan 'call-out' yang mana pesanan kerja akan diberikan mengikut budi bicara pelanggan berdasarkan jadual aktiviti dan kadar sepanjang tempoh kontrak masing-masing," katanya. 

 

Jelas SDHB, tempoh masa bagi kontrak bagi projek di luar negara dan Malaysia adalah antara September 2020 dan November 2023. 

 

Bagi projek EPCC di Indonesia melibatkan PT Green Energy Specialist One, ia membabitkan loji janakuasa biogas berkapasiti 4.8MW di Aceh Tamiang telah bermula sejak 1 September 2020 dan dijangka siap pada 31 Ogos 2021. 

 

Kontrak di Malaysia pula diperoleh dari syarikat berkaitan minyak dan gas termasuk Sarawak Shell Bhd. dan JX Nippon Oil & Gas Exploration (M) Ltd.

 

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SDHB, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah berkata, kontrak yang diperoleh syarikat bukan sahaja meningkatkan nilai projek SDHB tetapi membolehkan mereka merekodkan prestasi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 dengan lebih baik. 

 

"Projek terbaharu ini juga mencerminkan keupayaan syarikat untuk menjalankan perniagaan di luar konteks industri minyak dan gas yang telah terjejas akibat pandemik COVID-19. 

 

"Sehubungan itu, kumpulan akan memperluaskan kerja-kerja EPCC secara meluas di dalam projek bukan minyak dan gas," katanya. - DagangNews.com