Serba Dinamik, Sedania, Pelikan, MyEG, WCT, Cahya Mata Sarawak, Green Packet jadi tumpuan hari ini | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik, Sedania, Pelikan, MyEG, WCT, Cahya Mata Sarawak, Green Packet jadi tumpuan hari ini

 

 

KUALA LUMPUR 9 Julai - Bursa Malaysia pagi ini memulakan dagangan rendah dibuka pada 1,508.4 mata setelah susut 0.3 mata, sebelum indeks utama FBM KCLI kemudiannya meningkat 3.6 mata kepada 1,512.31 mata.

 

Semalam, pasaran tempatan merudum 21.44 mata atau 1.4% kepada 1,508.71 mata ekoran kemelut politik yang dicetuskan oleh UMNO, setelah mengisytiharkan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

 

Situasi semasa COVID-19 dengan jangkitan harian semalam mencecah hampir 9,000 kes turut memburukkan pasaran saham tempatan.

 

Bagaimanapun, Inter-Pacific Research berkata, prospek pasaran dalam tempoh jangka pendek masih rapuh dipengaruhi suasana politik yang tidak menentu dan penularan pandemik belum reda.

 

"Dengan keadaan pasaran yang lemah, kami melihat indeks utama FBM KLCI akan berlegar lebih rendah lagi dengan paras 1,500 sebagai sokongan utama," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Sementara itu, dalam kalangan kaunter aktif pagi ini, saham Serba Dinamik Holdings Bhd. paling rancak diniagakan dengan menokok 4.55% kepada 46 sen. 

 

Ini diikuti dengan saham Pelikan International Corporation Bhd., naik 9.09% kepada 42 sen manakala MyEG Services Bhd. menokok 2.47% kepada RM1.66. 

 

Turut aktif diniagakan termasuklah saham Sedania Innovator Bhd., naik 8.93% kepada 91.5 sen dan KTG Bhd. menokok 6.25% kepada 17 sen. 

 

Selain saham-saham aktif, dagangan hari ini juga boleh memberi tumpuan kepada WCT Holdings Bhd., Cahya Mata Sarawak Bhd., Green Packet Bhd., Enra Group Bhd., Telekom Malaysia Bhd. dan T7 Global Bhd. - DagangNews.com