Serba Dinamik terus jadi pilihan pelabur runcit  | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik terus jadi pilihan pelabur runcit 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
 

 

KUALA LUMPUR 6 Julai - Pelabur runcit masih kekal pelabur utama dalam pasaran ekuiti tempatan buat minggu kelima berturut-turut, menurut CGS-CIMB. 

 

Bagaimanapun, bagi minggu berakhir 2 Julai lalu, pembelian ekuiti mereka berkurangan sehingga 47% kepada RM311 juta berbanding RM584 juta minggu sebelumnya. 

 

Namun, firma itu mendapati, tiga saham utama yang menjadi tarikan pelabur runcit adalah Serba Dinamik, Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dan Public Bank. 

 

"Mereka banyak melabur dalam sektor tenaga dan berkaitan utiliti," katanya dalam laporan aliran dana mingguan hari ini.

 

Ketika artikel ini ditulis, Serba Dinamik masih mendahului kaunter paling aktif diniagakan di Bursa Malaysia pagi ini yang menyaksikan harganya menokok 8.25% kepada 52.5 sen dengan 587.74 juta saham diniagakan.

 

Serba Dinamik menjadi tumpuan pelabur lebih sebulan lalu, berikutan isu auditnya yang dibangkitkan KPMG PLT hingga menyebabkan syarikat mengalami kerugian hingga RM3 bilion dalam pasaran modal.

 

Minggu lalu, indeks FBM KLCI susut 1.7% apabila semua sektor merekodkan kerugian susulan keputusan kerajaan melanjutkan fasa pertama 'lockdown' di bawah Pelan Pemulihan Negara yang sepatutnya berakhir 28 Jun.

 

Pada minggu tersebut, pelabur institusi tempatan kembali membeli ekuiti tempatan sebanyak RM118 juta dengan kebanyakannya adalah saham Public Bank dan MISC. 

 

Sebelum itu, mereka menjual ekuiti tempatan selama lima minggu berturut-turut.

 

Pelabur asing pula terus menjual ekuiti berjumlah RM499.2 juta minggu lalu, meningkat 6% lebih tinggi sejak minggu berakhir 29 Januari 2021.

 

Pegangan asing dalam ekuiti Malaysia juga susut 0.1% bulan ke bulan kepada 20.3% setakat akhir Jun 2021, ekoran jualan ekuiti secara berterusan.

 

Berdasarkan analisis CGS-CIMB, ia mendapati, saham Public Bank, Serba Dinamik dan CIMB menjadi tumpuan utama pelabur sepanjang minggu lalu.  - DagangNews.com