Seruan tingkat kerjasama serantau bukti PM cakna cabaran ekonomi - Ahli Ekonomi | DagangNews Skip to main content

Seruan tingkat kerjasama serantau bukti PM cakna cabaran ekonomi - Ahli Ekonomi

Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR  27 Mei - Seruan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru untuk mempertingkatkan kerjasama serantau pada Persidangan Antarabangsa ke-27 di Tokyo bukti kecaknaan beliau terhadap cabaran ekonomi.

 

Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, meskipun trend seperti dasar yg lebih antagonastik seperti perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China pada tahun 2018 serta suasana geo politik yang tegang di Eropah Timur akan terus memberi cabaran kepada usaha murni ini.

 

"Hubungan dagangan pelbagai hala seperti Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Pertubuhan Ekonomi Asia Pasifik (APEC) perlu dilaksanakan secepat mungkin.

 

"Ini kerana dunia sekarang berada dalam krisis gangguan rantaian perniagaan global,” katanya kepada DagangNews.com hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika mengulas ucapan Perdana Menteri pada Persidangan Antarabangsa ke-27 Mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei yang bertemakan “Mentakrif Semula Peranan Asia dalam Dunia yang Terbahagi” di Tokyo.

 

Dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata, Asia kini berada di landasan terbaik untuk mengemudi perubahan dunia sekali gus membentuk status quo yang baharu.

 

Justeru, katanya, tumpuan harus diberikan kepada usaha mengukuhkan kemampuan rantau Asia dalam menangani perubahan dalam globalisasi selepas pasca pandemik.

 

Menurut Perdana Menteri, ketika globalisasi kini dalam kemerosotan, beliau berpendapat penting sekali bagi pembuat dasar dan juga pemimpin perniagaan di Asia meningkatkan lagi usaha mengukuhkan kerjasama serantau dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

 

Dr. Afzanizam berkata, usaha untuk meningkat keupayaan dalam kalangan pemain perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)   perlu diberi fokus agar hubungan perdagangan antarabangsa akan dapat direalisasikan dengan lebih bermakna kerana ia bakal mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta kadar upah yang lebih selesa.

 

Selain itu, katanya aspek kelestarian alam seperti amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)  perlu diberi perhatian khusus agar pertumbuhan ekonomi serantau dan global akan lebih mampan.

 

"Ini akan mengurangkan risiko bencana alam yang boleh meragut nyawa dan kesan ekonomi yang negatif.

 

"Secara umumnya, Perdana Menteri kita begitu cakna dengan cabaran ekonomi yang sedang hadapi dan mencari penyelesaian yang tuntas merupakan keutamaan beliau," katanya.

 


Katanya, suasana ekonomi yang kita hadapi seperti kurang bekalan makanan, mikrocip dan sebagainya adalah permasalahan global yang memerlukan kerjasama serantau. - DagangNews.com