Setelah lama tertangguh akibat kelewatan kapal OPV 1 APMM diserahkan kepada KDN | DagangNews Skip to main content

Setelah lama tertangguh akibat kelewatan kapal OPV 1 APMM diserahkan kepada KDN

OPV 1 semasa menyertai pelayaran ujian pada November lalu.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 3 Jan - Kapal peronda luar pesisir pertama (OPV1) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) secara rasminya diserahkan oleh pihak TH Heavy Engineering Berhad (THHE) kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 2 Januari 2023.

 

Penyerahan secara rasmi itu bagi membolehkan kapal tersebut diserahkan kepada APMM untuk melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan dan carilamat.

 

Penerimaan OPV1 ini merupakan detik bersejarah kepada KDN sebagai kementerian yang bertanggungjawab untuk memastikan aset berkenaan diterima agensi itu.

 

Kapal peronda buatan tempatan ini siap dibina setelah beberapa kali berlaku penangguhan termasuklah pemberhentian kerja semasa pandemik COVID-19.

 

OPV
Ketua Setiausaha KDNDatuk Ruji Ubi


 

Selain itu, proses membawa masuk peralatan teknikal terkini kapal yang diimport dari negara luar juga berdepan dengan kelewatan.

 

OPV1 dibina menggunakan reka bentuk kapal Damen 1800 berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter dan berkeupayaan melakukan operasi di laut sehingga 21 hari tanpa ulang bekal.

 

Reka bentuk kapal ini bakal menjadikan OPV1 berkemampuan menghadapi laut bergelora sehingga tahap Force 7. 

 

Ia juga mampu melaksanakan tugas-tugas seperti bantuan kemanusiaan, bertindak sebagai kapal logistik, menjadi kapal induk dan kapal pemerintah serta menjadi tempat penyimpanan kelengkapan menghadapi ancaman tumpahan minyak.

 

OPV
Ruji menyerah dokumen kepada Hamid (dua dari kanan) menandakan penyerahan OPV 1 kepada APMM.

 

OPV1 ini mampu mencapai kelajuan 21 knot serta mempunyai fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter dan bilik tahanan. 

 

Peralatan canggih lain yang dimiliki kapal ini seperti dron, meriam 30mm Smash Aselsan, dua buah bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) dan bot pemintas laju.

 

OPV1 ini juga didatangkan bersama radar X dan S Band bagi memastikan rondaan mampu bergerak secara meluas selain boleh menempatkan 70 kru.

 

Berdasarkan ciri-ciri pada kapal ini, ia dapat memperkasakan lagi pengoperasian APMM dalam menguatkuasakan undang-undang maritim seterusnya memastikan Zon Maritim Malaysia selamat.

 

OPV

 

Terdahulu, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi telah hadir untuk menerima OPV1 secara rasmi bagi diserahkan kepada APMM.

 

Turut hadir Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin serta Pengerusi THHE, Dato’ Ir. Jauhari Hamidi.

 

Sebelum diserahkan kepada kementerian, OPV1 telah melalui beberapa fasa percubaan termasuk fasa ujian di laut (sea trial) yang dilakukan di Selat Melaka.

 

OPV
Ruji dan Hamid bergambar bersama sebahagian daripada kru yang bakal mengendalikan kapal OPV 1.

 

Kapal ini bersama aset-aset APMM lain telah terlibat dalam Eksesais Maritim Perkasa Barat pada 28 November lalu.

 

APMM merancang untuk menempatkan OPV 1 di Sarawak sebagai usaha mempertingkatkan kawalan penguatkuasaan perairan negara, khususnya di wilayah Borneo.

 

Ia bakal menyertai dua kapal lain iaitu KM Marudu dan KM Kimanis berpangkalan di Kuching dan diletakkan di bawah APMM Sarawak.- DagangNews.com