Setiap 2 minggu ‘lockdown’ kikis 2.4% untung bersih industri sarung tangan | DagangNews Skip to main content

Setiap 2 minggu ‘lockdown’ kikis 2.4% untung bersih industri sarung tangan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 31 Mei - Setiap dua minggu pelaksanaan ‘total lockdown’ atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 4.0 dijangka ‘menghakis’ 2.4% daripada keuntungan bersih oleh industri sarung tangan getah di dalam negara. 

 

Unjuran itu dibuat oleh penganalisis di CGS-CIMB Research, Walter Aw setelah mengambil kira impak hanya 60% tenaga kerja dibenarkan di syarikat-syarikat sarung tangan getah sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP 4.0 bermula esok hingga 14 Jun 2021.

 

Dalam tempoh penguatkuasaan berkenaan, sektor sarung tangan juga berdepan penyusutan hasil sebanyak 1.5% bagi sepanjang tahun ini. 

 

“Hal atau faktor lain tidak berubah, termasuk unjuran purata harga jualan (ASP) bagi sektor berkenaan,” jelas Aw dalam satu nota kajian hari ini. 

 

CGS-CIMB mengekalkan penarafan ‘overweight’ ke atas sektor sarung tangan dengan penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja sektor itu selain gangguan pengeluaran, ASP yang merudum dan lonjakan harga bahan mentah akan bertindak sebagai risiko penurunan. 

 

Menurut pengumuman Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), syarikat pembuatan sarung tangan dibenarkan beroperasi semasa tempoh penguatkuasaan ‘lockdown’, namun dengan hanya kapasiti 60% tenaga kerja. 

 

Kebenaran itu dibuat memandangkan sarung tangan merupakan alat pelindung diri (PPE) dan dikategorikan sebagai produk penting. 

 

Tambah Aw, kebenaran hanya 60% tenaga kerja dijangka menyebabkan output pengeluaran yang lebih rendah semasa tempoh penguatkuasaan tersebut. 

 

Bagaimanapun, katanya, pembuat sarung tangan dapat mengurangkan impak berkenaan dengan hanya membenarkan kakitangan penting bekerja pada proses-proses yang lebih memerlukan tenaga kerja manual, seperti membungkus dan menanggalkan bungkusan.

 

“Dalam pada itu, kami percaya pelaksanaan PKP kali ini akan menyebabkan kelewatan dalam pelan pengembangan syarikat sarung tangan di bawah tinjauan kami. Sebelum ini, kami menjangkakan kapasiti sektor tersebut akan meningkat sebanyak 18.8% kepada 227 bilion sarung tangan setiap tahun menjelang penghujung 2021 daripada 192 bilion pada penghujung 2020. 

 

“Kami ‘neutral’ terhadap perkara ini memandangkan kami percaya penangguhan dalam pelan pengembangan akan menyebabkan output pengeluaran yang lebih rendah daripada jangkaaan berbanding ramalan kami ketika ini, namun impaknya akan dikurangkan oleh penurunan ASP yang lebih perlahan,” tambah Aw lanjut.

 

CGS-CIMB memberikan penarafan ‘tambah’ ke atas saham Hartalega Holdings Berhad, Kossan Rubber Industries Berhad dan Supermax Corporation Berhad. - DagangNews.com