Shamsul Azhar dilantik sebagai Pengerusi Deleum berkuat kuasa 1 Jun 2023 | DagangNews Skip to main content

Shamsul Azhar dilantik sebagai Pengerusi Deleum berkuat kuasa 1 Jun 2023

Tan Sri Shamsul Azhar Abbas
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mei - Deleum Berhad melantik Tan Sri Shamsul Azhar Abbas selaku pengerusi berkuat kuasa 1 Jun 2023 bagi menggantikan Datuk Izham Mahmud.

 

Shamsul Azhar menyertai lembaga pada 9 Jun 2022. Beliau mempunyai kerjaya yang cemerlang dalam industri minyak dan gas (O&G) setelah berada dalam industri itu selama lebih daripada 40 tahun.

 

Beliau juga pernah berkhidmat di pelbagai lembaga pengarah syarikat tersenarai awam.

 

Kumpulan itu berkata, Izham bagaimanapun akan terus bersama di dalam lembaga pengarah syarikat selaku pengarah bukan eksekutif.

 

Izham telah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah pada 21 Disember 2005 dan beliau merupakan pengasas bersama Deleum Services Sdn. Bhd. (Deleum Services), anak syarikat milik penuh Deleum Berhad.

 

Beliau menyertai Deleum Services sebagai pengerusi selepas bersara sebagai pengarah urusan Aseambankers Malaysia Berhad pada 1996 dan kemudiannya dilantik sebagai pengerusi eksekutif pada 2000.

 

Beliau berkhidmat sebagai Pengerusi Eksekutif Deleum Berhad sehingga bersara pada 31 Mei 2010, selepas itu beliau menjadi pengerusi bukan eksekutif sehingga kini.

 

"Saya telah berkhidmat sebagai Pengerusi Deleum sejak ia disenaraikan pada 2007 dan saya berbangga dengan cara syarikat berjaya mengatasi pelbagai cabaran dan dapat menyampaikan komitmennya kepada pihak berkepentingan.

 

"Saya yakin Tan Sri Shamsul Azhar sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah, memandangkan pengalaman luas beliau terutamanya dalam sektor minyak dan gas, akan berjaya menerajui syarikat dan terus membina momentum ke arah pertumbuhan masa hadapan. Saya doakan yang terbaik untuk beliau," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. - DagangNews.com